KEJAYAAN Dolla, Khai dan Shiha di AME2021.
KEJAYAAN Dolla, Khai dan Shiha di AME2021.
Norhayati Nordin


AHAD lalu terlakar sudah kejayaan penuh makna buat Khai Bahar, Shiha Zikir dan kumpulan Dolla apabila masing-masing dipilih sebagai pemenang trofi utama Top Top MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021).

Khai membawa pulang gelaran Top Top MeleTOP Lelaki, Shiha Top Top MeleTOP Wanita, manakala Dolla untuk Top Top MeleTOP Duo/Berkumpulan yang sememangnya ditunggu-tunggu penonton siapa penerimanya.

Ditemui pada sidang media di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini, mereka bersyukur dan menyifatkan kejayaan itu sebagai pembakar semangat untuk terus maju dalam karier seni.

Bagi Khai, kejayaan kali ketiganya merangkul trofi Top Top MeleTOP Lelaki itu diperoleh atas kasih sayang ikhlas daripada peminatnya yang tidak jemu memberi sokongan.

Katanya, dia hanya dapat mengucapkan terima kasih tidak terhingga.

Shiha pula mengakui perjalanan karier seninya yang sudah diceburi selama 12 tahun ini agak berliku. Katanya, bukan mudah untuk dia berada pada tahap sekarang terutama sepanjang usaha membuktikan bakat untuk memahat nama di hati peminat.

Kejayaan Dolla juga pastinya satu kejutan apabila kehadiran mereka

dalam industri muzik pada awal 2020 lalu yang mana negara 'panas' diserang Covid-19.

Malah, kemunculan Dolla ketika itu juga disamakan persis 'jelmaan' kumpulan BLACKPINK di Malaysia berikutan imej yang seksi.

Justeru, ikuti luahan hati tiga figura popular ini mengenai kejayaan diraih mereka. Apakah mereka benar-benar kini sudah berasa cukup popular di mata peminat dan apa yang diimpikan seterusnya?

KHAI bawa pulang tiga trofi.
KHAI bawa pulang tiga trofi.

Khai masih 'orang biasa'

Pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 28, ini berasakan dia bukan selebriti yang popular, tetapi masih 'orang biasa' seperti dulu.

Baginya, dia hanya mahu terus menghiburkan peminat menerusi karya seninya.

"Saya selebriti popular? Rasanya, belum sampai lagi ke tahap itu kerana untuk saya masih banyak perlu dilakukan dalam karier ini. Bagaimanapun, saya amat berterima kasih dengan peminat kerana terus menyokong saya.

"Jujur saya katakan, segala kemenangan trofi yang diraih selama ini adalah kejayaan tidak diduga. Saya anggap ia rezeki saja, selain kasih sayang daripada peminat yang ikhlas. Pada saya, kejayaan ini atas sokongan padu mereka (peminat)," katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu #123, Bayang dan Luluh ini, dia kini berhasrat menyiapkan album istimewanya buat peminat.

Katanya, semoga album itu dapat dilancarkan pada tahun ini.

Bukan hanya album, Khai juga akan muncul dengan lagu duet bersama penyanyi Adira Suhaimi tidak lama lagi. Begitu juga, Khai memaklumkan dia kini semakin aktif dalam penciptaan lagu yang diilhamkan sendiri. Katanya, jadual kerja amat padat.

SHIHA mengungguli kemenangan.
SHIHA mengungguli kemenangan.

Shiha tak kisah kejayaan dipertikai

Menang awal dengan empat kategori iaitu Artis Versatil MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP menerusi filem Hantu Bonceng, diikuti Duo/Berkumpulan MeleTOP dan Lagu MeleTOP bersama Noki K-Clique menerusi AEWO, bagi Shiha ia rezeki besarnya.

Ditambah lagi dengan trofi Top Top MeleTOP Wanita, Shiha berkata, dia sedar pasti kejayaannya itu menjadi bualan ramai. Apatah lagi, katanya, penyertaan terbanyak dalam AME2021 ini adalah julung kali disertainya.

Kata pemilik nama sebenar, Nurshiha Mohd Zikir ini, dia tidak boleh menutup mulut orang untuk bercakap mengenai dirinya. Malah, katanya, jika ada yang memikirkan dia tidak layak menang pun, biarkan saja mereka kerana itu hak masing-masing.

"Saya 'happy' dan sangat bersyukur dengan kejayaan ini kerana memperolehnya tidak mudah. Sangat berliku perjalanan yang saya lalui selama ini untuk menempatkan bakat dan nama di dalam industri.

"Saya sanggup menyahut cabaran menyertai pertandingan nyanyian hingga ke negara jiran, Indonesia dan kemudian teruskan usaha lagi untuk ketengahkan bakat di pasaran industri tempatan. Selama ini, saya hanya mampu bersabar dan tingkatkan usaha," katanya.

Menurut Shiha, dengan pengalaman susah payah yang pernah dihadapinya itu, dia enggan terlalu memikirkan dan ambil pusing dengan cakap-cakap orang lain. Katanya, mereka juga tidak berada ditempatnya selama ini dan biarkan saja.

DOLLA dianggotai Angel, Syasya, Tabby dan Sabronzo.
DOLLA dianggotai Angel, Syasya, Tabby dan Sabronzo.

Dolla tak sangka menang

Dianggotai empat wanita jelita dan seksi iaitu Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya, semestinya penerimaan Dolla dalam kalangan peminat tidak mudah pada awal pembabitannya. Apatah lagi, membabitkan penampilan imej seksi yang sangat berani.

Melihat positif dengan segala kritikan dan kecaman yang datang, Dolla lebih memberi fokus muncul dengan lagu baharu. Malah, menariknya lagi keberanian mereka menjayakan 'mini showcase' Dolla pada Februari lalu, amat mendapat perhatian.

Sabronzo berkata, sebagai 'pemain baharu' dalam industri, Dolla masih giat mengumpul pengalaman. Malah, katanya mereka amat terkejut dengan kemenangan tidak diduga yang diraih itu.

"Kami (Dolla) sebenarnya tidak sangka dipilih oleh peminat untuk memenangi trofi Top Top MeleTOP Duo/Berkumpulan ini kerana masih baharu dan pengalaman pun giat ditimba. Apa pun, kami ucapkan berbanyak terima kasih kepada peminat yang mengundi Dolla.

"Berada sepentas bersama Khai dan Shiha di AME2021 ini, kami agak kerdil daripada mereka kerana sangat baharu menceburi industri seni. Namun, dengan kejayaan ini kami tekad akan lebih berusaha menghasilkan karya terbaik Dolla untuk akan datang," katanya.

Selain kemenangan di AME2021 ini, Dolla lebih dulu sudah menempa kejayaan besar lain, antaranya mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila terpilih sebagai artis wanita berkumpulan pertama negara tampil di papan iklan digital di New York Times Square, Amerika Syarikat (AS) pada September tahun lalu.

Senarai pemenang AME2021

Top Top MeleTOP Lelaki: Khai Bahar

Top Top MeleTOP Wanita: Shiha Zikir

Top Top MeleTOP Duo/Berkumpulan: Dolla

Artis Baharu MeleTOP: Dini Schatzmann

BBNU MeleTOP: Alyssa Dezek

Couple MeleTOP: Emma Maembong dan Muhammad Shazli

Si Cilik MeleTOP: Ariana Aubrey dan Karl Kareef

Grup/Duo MeleTOP: Shiha Zikir dan Noki K-Clique

Penyanyi MeleTOP: Khai Bahar

Lagu MeleTOP: AEWO -Shiha Zikir dan Noki K- Clique

Program MeleTOP: Konsert Minggu Ini #123 - Khai Bahar

Drama MeleTOP: Kampung Pisang Bersiri-Siri

Hos MeleTOP: Jihan Muse

Pelakon MeleTOP: Fasha Sandha

Bintang Filem MeleTOP: Shiha Zikir (Hantu Bonceng)

Filem MeleTOP: Ada Apa Dengan Dosa

Video MeleTOP: Wany Hasrita

Influencer MeleTOP: Dr Say

Artis Versatil MeleTOP: Shiha Zikir

Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP: Hamid Gurkha

Anugerah Legend Muzik MeleTOP: Roslan Aziz

Anugerah Khas MeleTOP: Datuk Aznil Nawawi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 6:30 AM