SITI terus unggul.
SITI terus unggul.
Georgie Joseph

DATUK Seri Siti Nurhaliza dinobatkan pemenang anugerah JOOX Malaysia Top Music Awards 2020 apabila meraih undian tertinggi peminat. Ternyata, penyanyi nombor satu negara itu terus unggul di persada muzik.

Kemenangan Siti ditentukan menerusi jumlah penstriman terbanyak pada penghujung tahun lalu. Jumlah itu dikumpul sepanjang tahun terbabit dan digabungkan dengan undian peminat yang dijalankan.

Ternyata, bakat tempatan terus dijulang tinggi apabila artis tanah air keseluruhannya meraih enam juta undian. Sekali gus, ia menyaksikan peningkatan empat kali ganda berbanding jumlah undi diterima sekitar pertengahan 2020.

Siti berjaya meraih enam anugerah dalam pengiktirafan itu termasuk Artis Lokal Paling Popular, Top 5 Artis Lokal (Hujung Tahun 2020), Top 5 Artis Lokal Tahun 2020 selain lagunya Aku Bidadari Syurgamu turut unggul.

Lagu berkenaan berjaya memenangi kategori Lagu Lokal Paling Popular, Top 5 Hit Lokal (Hujung Tahun 2020) dan Top Hit Lokal Tahun 2020.

Berkongsi berita gembira itu, Siti ternyata sangat terharu dengan sokongan JOOX yang tidak henti memberikan peluang buatnya di platform itu. Menurutnya, kejayaan itu juga tidak akan dikecap tanpa sokongan padu daripada peminat.

"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada JOOX kerana selalu memberi sokongan dan mempromosikan lagu saya selama ini. Menerusi JOOX, lagu saya dapat didengari dan distrim oleh peminat muzik selain peminat saya sendiri.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh peminat yang mengundi. Bagi saya, ini kejayaan yang sangat manis sepanjang 2020 pada usia pembabitan saya hampir 25 tahun dalam industri muzik.

JUSTIN Bieber terus popular dalam kalangan peminat tempatan.
JUSTIN Bieber terus popular dalam kalangan peminat tempatan.

"Saya sangat berterima kasih kepada semua yang mengiringi perjalanan seni saya selama ini. Terima kasih kepada peminat saya yang mengundi dan terima kasih JOOX di atas usaha penganjuran anugerah ini," katanya.

Selain Siti, penyanyi Amerika Syarikat, Justin Bieber pula meraih undian tertinggi untuk kategori lagu Barat. Kumpulan fenomena BTS dari Korea Selatan pula terus berada di kedudukan teratas untuk kategori K-Pop.

Bieber merangkul lima anugerah iaitu Top 5 Artist Antarabangsa (Hujung Tahun 2020) dan Top 5 Artis Antarabangsa Tahun 2020. Sementara lagu nyanyiannya berjudul Lonely menampilkan Benny Blanco pula menerima anugerah Top 5 Hit Antarabangsa Tahun 2020.

Selain itu, lagunya Stuck with U duet bersama Ariana Grande dan lagu Yummy juga berjaya membawa pulang anugerah Top 5 Hit Antarabangsa Tahun 2020.

Tiada yang dapat menandingi pesona kumpulan K-Pop, BTS kerana kumpulan terbesar di dunia itu masih berjaya membawa pulang lima anugerah. Lagu mereka Life Goes On mendapat anugerah Lagu K-Pop Paling Popular hasil undian pengguna di Malaysia.

BTS sukar digugat sebagai artis K-Pop nombor satu sekarang.
BTS sukar digugat sebagai artis K-Pop nombor satu sekarang.

Lagu hit, Dynamite pula dinobatkan sebagai Top 5 Hit K-Pop (Hujung Tahun 2020) dan Top 5 Hit K-Pop Tahun 2020, lagu ON untuk Top 5 Hits K-Pop Tahun 2020 sementara, lagu Who bersama Lauv juga memenangi Top 5 Hit Antarabangsa Tahun 2020.

Sama seperti JOOX Malaysia Top Music Awards (Pertengahan 2020), pengguna JOOX di Malaysia dapat mengundi lagu dan artis kegemaran mereka. Untuk pusingan kali ini, jumlah undian bagi lagu dan artis tempatan berjaya pecah rekod.

Dengan undian sekitar enam juta, menyaksikan peningkatan empat kali ganda (400%) berbanding dengan jumlah undian yang terkumpul di anugerah pertengahan tahun lalu. Sekali gus membuktikan sokongan padu pendengar terhadap artis dan muzik tempatan.

Selain itu, terdapat sebuah lagi kejutan apabila penyanyi MandoPop, Ren Ran menjadi penyanyi berbangsa Cina pertama yang mendapat tempat dalam anugerah Paling Popular dengan lagu Mandarin Fei Niao He Chan hasil undian peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 6:40 AM