SITI Nurhaliza terus mendominasi carta JOOX.
SITI Nurhaliza terus mendominasi carta JOOX.
Georgie Joseph


MENJADI platform penstriman muzik kegemaran tempatan, JOOX kembali menganjurkan JOOX Malaysia Top Music Awards (Pertengahan Tahun) 2021. Semestinya lebih menarik, apabila barisan nama penyanyi tercalon juga hebat-hebat belaka.

Apapun, pastinya lebih penting adalah kuasa menentukan pemenangnya tetap di tangan pengundi. Justeru, pengundi dimaksudkan itu adalah pelayar setia JOOX yang tidak jemu menyokong platform berkenaan.

Kali ini, anugerah terbabit akan menobatkan 26 pemenang dalam enam kategori iaitu Anugerah Artis Lokal, Anugerah Hit Lokal, Anugerah Artis Antarabangsa, Anugerah Hit Antarabangsa, Anugerah Hit K-Pop, dan Anugerah Top Pilihan Peminat.

Istimewanya, pengundi juga tidak pulang dengan tangan kosong. Pengundi dengan jumlah undi terbanyak yang bertuah bakal memenangi telefon pintar iPhone 12 Pro Max.

Menurut Ketua JOOX Malaysia, Angie Tan, kuasa pengundi cukup penting kerana mereka yang merealisasikan kejayaan setiap artis kegemaran masing-masing.

"Melalui kemunculan platform penstriman muzik, sekarang adalah waktu terbaik untuk dikuasai peminat muzik. Bukan saja dengan memiliki akses ke lebih 40 juta lagu dalam pustaka JOOX, tetapi mereka diberikan kuasa menobatkan siapakah artis dan lagu yang paling popular.

"Kami sangat teruja untuk mengetahui siapa yang akan dipilih peminat muzik tempatan dalam enam kategori ini. Kami juga sangat bebesar hati kerana dapat memberikan muzik dan hiburan yang terbaik untuk mereka," katanya.

Bagi kategori Anugerah Top Pilihan Peminat, ia akan diputuskan sepenuhnya oleh peminat muzik Malaysia untuk julung kalinya. Mereka boleh memberikan sokongan padu dengan mengundi artis dan lagu kegemaran mereka untuk membawa pulang anugerah berprestij itu.

Calon untuk anugerah tahun ini menampilkan ramai artis popular termasuk penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Tidak ketinggalan, Haqiem Rusli, Naim Daniel serta pendatang baharu, Reedzwann.

Calon artis antarabangsa termasuk Ariana Grande dan Alan Walker serta bintang K-Pop seperti BTS dan BLACKPINK. Cukup sengit, namun kuasa undian bakal menentukan siapa akan bersinar.

Undian sudah mula dibuka sejak 9 Julai lalu dan berakhir pada 24 Julai depan. Peminat dapat menggunakan kuasa mengundi mereka dengan cara mudah iaitu mendaftar akaun di JOOX.

Pengguna yang menggunakan JOOX secara percuma akan mendapat 60 undi setiap hari, manakala pengguna JOOX VIP memperoleh 1,200 undi sehari. Undian terbabit boleh digunakan secara bebas terhadap mana-mana artis kesukaan mereka.

Selain Siti Nurhaliza yang terus unggul dan kukuh dalam carta JOOX, nampaknya beberapa nama baharu turut menyerlah. Sekali gus, ia menjadikan kategori Anugerah Artis Lokal lebih variasi.

Antaranya pendatang baharu seperti Aisha Retno, Akhmal Daniel, Lia Aziz, Reedzwann dan Vanessa Reynauld. Mereka berjaya lolos dalam pencalonan untuk Anugerah Hit Lokal untuk pertama kali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 6:45 AM