SITI Nurhaliza dinobat Artis Lokal Paling Popular.
SITI Nurhaliza dinobat Artis Lokal Paling Popular.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


KALA kemunculan pandemik Covid-19, kejayaan diraih artis tempatan tetap perlu diiktiraf kerana peminat yang membuat pilihan.

Sehubungan itu, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Naim Daniel menjadi artis tempatan paling popular pilihan pendengar menerusi Anugerah Muzik Top JOOX edisi pertengahan tahun 2020.

Siti yang namanya tersohor dan berpengalaman luas dinobatkan Artis Lokal Paling Popular manakala Naim pula meraih kemenangan Lagu Lokal Paling Popular.

Naim yang mempertaruhkan lagu Sembah duet bersama Man Keedal turut memenangi kategori Top 5 Artis Lokal dan Top 5 Hits Lokal. Tidak ketinggalan, YonniBoii dan Floor88 unggul menang dua kategori berkenaan.

Platform pentsriman muzik Asia, JOOX menganjurkan pengiktirafan terbabit untuk meraikan kejayaan artis tempatan terutama menerusi muzik mereka.

Hampir 100,000 pengguna JOOX turut serta dengan hampir 1.5 juta undian terkumpul sepanjang tempoh mengundi dibuka. Ternyata, disambut baik.

Malah, acara yang dilancarkan sempena kempen High5JOOX ini untuk meraikan ulang tahun ke-5 platform penstriman berkenaan.

Selain meraikan pencapaian diperoleh artis lokal, ia turut memberi pengiktirafan kepada artis dan muzik antarabangsa serta K-Pop.

Untuk segmen lokal, peminat muzik tempatan diberi mandat memilih artis dan lagu kegemaran mereka yang terdiri daripada pelbagai genre termasuk hip hop, pop balada sehinggalah ke rock.

NAIM menang Lagu Lokal Paling Popular.
NAIM menang Lagu Lokal Paling Popular.

Antara penyanyi lain yang turut berjaya mendapat undian tertinggi pendengar adalah Nabila Razali menerusi lagu hitnya, Peluang Kedua. Begitu juga dengan Sufian Suhaimi yang nampaknya tidak mengecewakan menerusi lagu Yang Benar.

Angka penyertaan peminat dalam proses mengundi itu ternyata membuktikan mereka sangat menghargai muzik tempatan. Bukan saja tertumpu kepada artis kegemaran semata-mata, penilaian berdasarkan mutu lagu juga antara faktor penting.

Sekali gus, ia menepati matlamat platform penstriman berkenaan yang sentiasa berusaha memenuhi selera pendengar. Sokongan memberangsangkan itu turut membuatkan JOOX lebih berdedikasi tinggi untuk menyajikan muzik dari seluruh dunia.

Kesungguhan dan dedikasi ditunjukkan oleh peminat muzik tanah air dalam menyokong artis Malaysia juga satu kemenangan bagi JOOX. Ia terbukti dengan kejayaan projek JOOX ORIGINALS iaitu inisiatif menjulang artis berbakat dan terbaik di negara ini.

ALAN Walker dipilih Artis Antarabangsa Paling Popular.
ALAN Walker dipilih Artis Antarabangsa Paling Popular.

Bagi segmen antarabangsa pula, peminat tempatan menobatkan Alan Walker sebagai Artis Antarabangsa Paling Popular. Turut berkongsi mendapatkan pengiktirafan di anugerah ini adalah Justin Bieber, Andmesh Kamaleng, Maroon 5 dan Ali Gatie sebagai Top 5 Artis Antarabangsa.

Lagu hit duet Ariana Grande dan Justin Bieber, Stuck with U menjadi dinobatkan Lagu Antarabangsa Paling Popular. Sementara itu, Yummy nyanyian Justin Bieber, Who (Lauv), End of Time (K-391) dan To Die For (Sam Smith) dinobat Top 5 Hits Antarabangsa.

Bagi segmen K-Pop, seperti dijangka lagu ON nyanyi kumpulan fenomena BTS mendapat undian tertinggi dan dinobat Lagu K-Pop Paling Popular.

Tidak ketinggalan, Top 5 Hits K-Pop dimenangi Any Song oleh Zico, ON (BTS), WANNABE (ITZY), Feel Special (TWICE), dan Eight (IU feat. SUGA).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 6:30 AM