UKAYS bersyukur berada dalam Top 5 Artis Lokal pada JOOX Top Music Awards (Pertengahan tahun) 2021.
UKAYS bersyukur berada dalam Top 5 Artis Lokal pada JOOX Top Music Awards (Pertengahan tahun) 2021.
Ridzuan Abdul Rahman

Bukan satu perkara yang mudah, namun ketua kumpulan Ukays, Azmi Hassan atau Amy gembira apabila mereka mampu bersaing dengan penyanyi popular Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi generasi baru iaitu Khai Bahar, Naim Daniel dan Haqiem Rusli dalam Top 5 Artis Lokal pada JOOX Top Music Awards (Pertengahan tahun) 2021.

Amy berkata, dia tidak menyangka turut berada dalam senarai itu. Apatah lagi ia untuk tahun kedua berturut-turut sekali gus mengulangi kejayaan tahun lalu.

"Syukur, ini adalah rezeki kami selepas puas berusaha mengekalkan kedudukan dalam industri muzik sejak pertengahan tahun 1990-an.

"Kami amat berterima kasih kepada Joox kerana mencalonkan Ukays untuk bersaing dengan barisan penyanyi yang dianggap hebat ini. Kami juga berterima kasih kepada peminat Ukays yang sudah mengundi dan rajin strim lagu-lagu kami sehingga membawa kejayaan ini," katanya.

Amy berkata, dalam keadaan sekarang mereka menyokong apa saja usaha yang dibuat mana-mana pihak untuk menggerakkan industri muzik dengan sokongan peminat.

KINI tampil menggunakan penyanyi undangan berbanding penyanyi tetap.
KINI tampil menggunakan penyanyi undangan berbanding penyanyi tetap.

"Apapun ia memberikan kami semangat untuk terus menghasilkan lagu-lagu terbaik dan dapat diperdengarkan kepada peminat industri muzik.

"Untuk terus kekal relevan dalam industri muzik, saya perlu ada produk atau material yang berterusan kerana peminat Ukays sering tertunggu-tunggu lagu kami.

"Alhamdulillah, sepanjang ditubuhkan pada 2009 sampai sekarang, kami sudah keluarkan lapan lagu baharu," katanya.

Selain Amy, Ukays kini dianggotai Faiz (gitar), Ayed (bass) dan Lan sebagai pemain drum undangan.

Amy berkata, dia kini menetapkan konsep kumpulannya yang tidak mempunyai penyanyi tetap dan hanya menampilkan penyanyi undangan.

"Ukays sebenarnya ditubuhkan semula pada 2009 dan popular dengan lagu Lepaskan Kerna Terpaksa. Kemudian saya hasilkan lagu Kau Putuskan Pertunangan dengan menampilkan penyanyi Achik Asrain. Menerusi lagu berjudul I Love You, I Miss You, saya tampilkan Ady sebagai penyanyi undangan," katanya.

Menurutnya, daripada lapan single yang dihasilkan, enam daripadanya mendapat sambutan hebat daripada pendengar.

"Lagu Lepaskan Kerna Terpaksa (2013) berjaya mencatat 3.6 juga tontonan di YouTube, I Love You I Miss You (2018) sebanyak 29 juta tontonan dan Terpaksaku Lepaskan (2019) sebanyak 25 juta tontonan.

"Tak ketinggalan ialah Terpaksaku Tinggalkan (2021) dengan sejuta tontonan, Kurelakan Dikau Pergi (2021) sebanyak 845,000 tontonan dan Kau Putuskan Pertunangan (2021) dengan 179,000 tontonan setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 6:45 AM