Elyana Emrizal.
Elyana Emrizal.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Elyana Emrizal, 34, menyarankan orang ramai yang berkemampuan dan mempunyai masalah kesihatan supaya mengambil pakej insurans tertentu untuk pembiayaan kos rawatan ketika di hospital.

Menurut Elyana yang juga pesakit kanser limfoma tahap empat, dia bersyukur mempunyai insurans kesihatan yang disifatkan banyak membantunya sewaktu menjalani rawatan di hospital.

"Bila ada insurans, percayalah kita tak akan 'stress' fikir mana nak cari duit untuk bayar segala bil hospital nanti. Insurans banyak membantu dan menyokong saya dalam pelbagai aspek hidup.

"Saya bersyukur mempunyai insurans. Selain mendapat sokongan padu daripada suami, anak dan keluarga yang sentiasa memberi galakan positif untuk saya terus berjuang dengan penuh semangat dalam kehidupan ini," katanya.

Penyanyi lagu Kalis Rindu itu yang sudah 10 tahun menghidap kanser limfoma, berkata dia juga menyedari betapa pentingnya penjagaan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

"Selepas saya didiagnosis menghidap kanser, ia adalah satu cabaran besar untuk berjuang demi hidup. Namun, saya bertuah kerana ramai doktor begitu mengambil berat tentang proses pemulihan kesihatan saya.

"Bagaimanapun, selain menjalani rawatan hospital saya kini mengamalkan pemakanan yang sihat dan melakukan senaman-senaman ringkas agar badan saya dapat pulih dengan lebih baik," katanya.

Elyana yang turut dilihat sering memuat naik kebanyakan foto dia sudah bertudung di Instagram, banyak menerima kata-kata positif barbaur semangat untuk terus berjuang daripada peminat dan pengikutnya.

Terdahulu, Elyana membuat pendedahan berani mengenai dia menghidap kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017 lalu.

Pernah juga aktif dalam lakonan dahulu, Elyana mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Cinta Sumayyah, 10, serta memiliki anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 1:51 PM