ELYANA
ELYANA
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya hilang selera makan dan berat badan kini hanya 41 kg (kilogram). Dalam badan saya ketika ini tiada lemak dan hanya tulang sahaja."

Demikian kata penyanyi Elyana, 33, mengenai kanser limfoma yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu kini semakin serius.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal ketika dihubungi berkata, kanser itu juga sudah merebak ke rahim, hati dan pangkal paha.

"Ketika dimasukkan ke hospital selama lima hari bulan lalu, doktor memaklumkan sel kanser lama sudah berkurangan, tetapi mendapati sel-sel itu sudah merebak ke bahagian badan yang lain," katanya.

Elyana berkata, dia kini berusaha kuatkan semangat untuk lebih sihat dan berfikiran positif setiap hari.

"Walaupun memang saya perlukan kata-kata semangat daripada orang lain, tetapi tidak boleh terlalu berharap. Jalan terbaik ialah saya sendiri harus ingatkan pada diri sendiri untuk terus kuat.

"Memberi semangat kepada diri sendiri adalah rutin saya setiap hari dalam menghadapi dugaan ini. Saya akan terus berjuang dan bertahan demi keluarga yang ada di sisi memberi sokongan," katanya kepada Harian Metro. Berbicara keadaannya kini, Elyana berkata, dia masih sihat tetapi perlu banyak berehat kerana cepat penat serta tak boleh berjalan banyak.

Menurut Elyana, doktor mahu dia menjalani rawatan kemoterapi secepat mungkin, namun ia terpaksa ditangguhkan seketika berikutan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

"Saya dah tak ada selera makan sejak beberapa bulan lalu dan kini badan memang lemah. Apapun, saya perlukan masa untuk menguatkan badan dahulu sebelum melakukan rawatan kemoterapi itu," katanya.

Elyana yang membuat pendedahan mengenai kanser limfoma tahap empat dihidapinya selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017.

Katanya, kali terakhir dia melakukan rawatan kemoterapi ialah pada 2016.

Elyana mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan Cinta Sumayyah, 9, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 5:08 PM