ELYANA dimasukkan ke hospital sejak semalam.
ELYANA dimasukkan ke hospital sejak semalam.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Elyana, 34, menjalani rawatan radioterapi di bahagian hati dan pinggul hari ini bagi merawat penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya.

Elyana yang dimasukkan ke hospital sejak semalam berkata, dia bersyukur keadaan kesihatannya terutama pernafasan berada dalam keadaan yang baik.

"Alhamdulillah, saya sudah boleh bernafas dengan baik. Cuma, rawatan radioterapi ini masih perlu dibuat kerana sel-sel kanser itu masih ada di bahagian tertentu seperti hati dan pinggul.

"Jadi, kenalah dirawat lagi untuk pulih. Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada anda semua yang sentiasa mendoakan keadaan kesihatan saya untuk cepat pulih. Malah, tak jemu juga memberi saya banyak kata-kata semangat untuk terus berjuang menghadapi penyakit ini. Terima kasih juga kerana selalu menemani 'live' saya di Instagram," katanya.

Terdahulu, pada Jun lalu Elyana sudah menjalani 10 sesi rawatan radioterapi dan kemudiannya dibenarkan pulang ke rumah.

Ketika ditanya salah-seorang pengikutnya mengenai keguguran rambut kesan daripada rawatan dijalani, Elyana berkata, dia memang mengalaminya tetapi itu perkara biasa.

"Bila buat rawatan kanser ini, rambut memang akan gugur tapi kita tak perlu risau kerana ia (rambut) akan tumbuh semula dan lebih cantik lagi.

"Bagi saya, apa yang paling utama ketika proses rawatan ialah semangat kuat dan kekal positif. Berkenaan rambut gugur, tak perlu fikirkan sangat sebab ia kesan biasa," katanya.

Mengulas mengena rawatan kimoterapi, Elyana berkata, buat masa ini dia perlu menjalani rawatan radioterapi dulu dan semuanya bergantung kepada keputusan pemeriksaan nanti.

"Mohon doakan saya kuat untuk menjalani rawatan ini. Apatah lagi, sudah beberapa hari saya tak cukup tidur sebelah kiri badan saya berasa sakit," katanya.

Elyana yang popular dengan lagu Tak Tercapai Akalmu menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 10 tahun lalu dan dia hanya membuat pendedahan mengenai penyakitnya itu pada 2017.

Mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Cinta Sumayyah, 10, serta memiliki anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 3:27 PM