KALIS Rindu antara lagu yang pernah dipopularkan Elyana. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
KALIS Rindu antara lagu yang pernah dipopularkan Elyana. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun, dugaan Allah buat hamba-Nya mengikut kemampuan dan ketabahan masing-masing.

Itu yang boleh diungkap mengenai dugaan besar kesihatan dialami penyanyi Elyana, 33, yang hampir 10 tahun menghidap kanser limfoma tahap empat.

Kecekalan semangat dalam diri pemilik nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal ini sangat tinggi. Ketabahan dan sikap positifnya sangat dikagumi dan wajar dicontohi.

Menurut ibu dua cahaya mata dan pernah popular dengan lagu Kalis Rindu ini, dia sentiasa kuatkan semangat dalam diri untuk lebih sihat, cekal dan kuat.

"Selain memerlukan semangat daripada keluarga dan orang sekeliling, saya sendiri perlu berusaha kuatkan semangat diri sendiri dahulu dan positif setiap hari.

"Walaupun saya perlukan kata-kata semangat untuk terus tabah menghadapi dugaan kehidupan ini, tetapi sedar tidak boleh terlalu berharap dengan orang lain semata-mata.

"Jalan terbaiknya, saya sendiri harus ingatkan pada diri untuk terus kuat dan bersemangat. Ditambah, suami dan anak-anak sentiasa ada di sisi," katanya.

Menurut Elyana, memberi kata-kata semangat kepada diri sendiri adalah rutinnya setiap hari. Katanya, dia akan terus berjuang dan bertahan demi keluarganya yang selalu memberi sokongan.

ELYANA sentiasa ingatkan diri kuat semangat dan kekal positif.
ELYANA sentiasa ingatkan diri kuat semangat dan kekal positif.

Berbicara juga keadaan terkini kesihatannya, Elyana berkata, dia bersyukur masih sihat, tetapi perlu banyak berehat kerana cepat berasa penat dan tak boleh berjalan banyak.

"Memandangkan penyakit kanser saya sudah lama, sekarang kata doktor ia merebak ke beberapa organ badan seperti rahim, hati dan pangkal paha.

"Ketika dimasukkan ke hospital selama lima hari pada November lalu, walaupun saya dimaklumkan sel kanser lama sudah berkurangan, tetapi didapati sel-sel itu sudah menyerang ke bahagian badan yang lain," katanya.

Kata Elyana, doktor juga mahu dia menjalankan rawatan kemoterapi secepat mungkin, namun sekarang terpaksa diangguhkan seketika berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

"Sekarang, saya pun masih hilang selera makan dan berat badan pula 41 kilogram (kg). Dalam badan saya ketika ini tiada lemak, jadi bimbang juga kalau tak dapat menjalani rawatan itu dengan lancar.

BERSYUKUR masih sihat, tetapi perlu banyak berehat kerana cepat penat.
BERSYUKUR masih sihat, tetapi perlu banyak berehat kerana cepat penat.

"Saya dah tak ada selera makan sejak beberapa bulan lalu dan kini badan memang lemah. Apapun, saya perlukan masa untuk menguatkan badan dahulu sebelum melakukan rawatan kimoterapi berkenaan," katanya.

Terdahulu, Elyana membuat pendedahan mengenai kanser limfoma tahap empat dihidapinya selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017. Malah, kali terakhir dia melakukan rawatan kemoterapi pada 2016.

Mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada 2010, mereka mempunyai seorang anak perempuan, Cinta Sumayyah, 9, dan mengambil seorang anak angkat, Cahaya Ramadhani kini berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 6:22 AM