Selepas Dabangg 3, Salman Khan kini kembali beraksi di layar perak dengan filem terbaharu berjudul Radhe: Your Most Wanted Bhai.
Filem yang dinanti peminat Bollywood ini bukan sahaja menampilkan Salman Khan sebagai hero tetapi dia juga selaku produser bersama Sohail Khan dan Atul Agnihotri.
Diarahkan Raja Tari, 'Prabhudeva', peminat turut berpeluang menyaksikan gandingan Salman Khan bersama aktres jelita, Disha Patani.
Tidak ketinggalan, aktor Jackie Shroff dan Randeep Hooda turut memainkan peranan penting dalam filem ini.
Radhe: Your Most Wanted Bhai mengisahkan bagaimana seorang pegawai polis bernama Radhe menangani kes sindiket dadah yang kian meningkat di Mumbai.
Kehebatan Radhe menyelesaikan kes jenayah dengan cara tersendiri membuatkan penjenayah berasa gerun sehinggakan sindiket dadah itu berjaya ditumpaskan.
Pengarah MSK Group Saradha Sivalingam Kalai berkata, MSK Film Production Sdn Bhd bersama kumpulan anak syarikat berbangga meneruskan usaha mengedarkan filem antarabangsa dari seluruh dunia menerusi pelbagai platform sejak lebih 20 tahun lalu.
"Sebagai salah satu peneraju pengedaran filem antarabangsa, hak cipta filem kami terbukti memberi keuntungan kepada sub pengedar dan kami juga berusaha meneruskan hubungan baik dengan pempamer antarabangsa, stesen televisyen OTT (Over-the-top) dan platform digital.
"Penting bagi kami untuk kekal bersama dan memikirkan jalan penyelesaian terbaik untuk pawagam ketika industri filem berdepan situasi pandemik COVID-19.
"Kami akan terus memberi sokongan kepada pengusaha pawagam dengan menayangkan filem di pawagam sedaya boleh dan mematuhi peraturan dan protokol yang dinyatakan oleh kerajaan," katanya.
Ujarnya lagi, pihak mereka juga teruja bekerjasama dengan Zee Studios bagi membawakan filem Radhe: Your Most Wanted Bhai yang dijangka menjadi filem pecah panggung di Malaysia dan Brunei.
Bagi peminat yang menantikan filem Radhe: Your Most Wanted Bhai, filem ini akan ditayangkan menerusi laman sesawang dan aplikasi tonton CINEMA mulai 3 Jun 2021 dengan hanya RM15 sahaja.