Salman Khan tangkas bertarung bakal membuatkan penonton tidak senang duduk. - FOTO Salman Khan FIlms
Salman Khan tangkas bertarung bakal membuatkan penonton tidak senang duduk. - FOTO Salman Khan FIlms
Muhamad Shaifullah Tayep

NAMA Salman Khan sememangnya tidak asing dalam dunia seni Bollywood.

Terbabit sebagai pelakon, pengarah, penyanyi sehinggalah pelukis, Salman Khan atau nama sebenarnya Abdul Rashid Salim Salman Khan pernah memenangi beberapa anugerah termasuk antarabangsa melalui hasil kerja seninya dalam dunia perfileman yang sudah diceburi selama lebih 30 tahun.

Pernah membintangi beberapa filem blokbuster seperti Dabangg, Ready, Sultan, Kick dan banyak lagi, terbaharu beliau beliau tampil dalam filem Radhe: Your Most Wanted Bhai.

Radhe: Your Most Wanted Bhai adalah filem aksi arahan Prabhu Deva yang mengambil inspirasi filem Korea, The Outlaws dan dihasilkan di bawah naungan Salman Khan Films serta Zee Studios.

Dibintangi Salman Khan dan Disha Patani, Radhe: Your Most Wanted Bhai turut dibantu Randeep Hooda, Bharath, Jackie Shroff dan Megha Akash.

Radhe: Your Most Wanted Bhai mengisahkan Radhe, lakonan Salman Khan yang sudah menjadi anggota polis selama 10 tahun dan berjaya menyelesaikan 97 kes serta pernah ditukarkan ke pelbagai lokasi dan jabatan sebanyak 23 kali.

Selepas tamat daripada penggantungan tugas, Radhe kembali aktif untuk menangkap mafia dadah, Rana lakonan Randeep Hooda.

Radhe berjanji kepada seorang pelajar sekolah untuk membersihkan kota daripada dadah sebelum peperiksaan bermula, namun bagi mencapai misinya itu beliau perlu melalui pelbagai cabaran yang menghasilkan plot dan jalan cerita mendebarkan.

Biarpun mirip filem Darbar lakonan Rajinikanth, Radhe: Your Most Wanted Bhai pasti bakal meninggalkan kesan kepada penonton apabila melihat setiap gerakan Salman Khan ketika bertarung yang tidak pernah mengecewakan dalam menyampaikan karakter watak diberikan.

Digandingkan dengan musuh hebat, Rana yang terpalit dengan tugas harian Radhe membuatkan penonton tak senang duduk melihat aksi pertarungan sengit yang seronok untuk ditonton.

Disha Patani muncul sebagai Diya, model popular yang sentiasa menarik perhatian bukan sahaja dalam pelbagai iklan tetapi juga watak utamanya, Radhe.

Babak romantik antara Diya dan Radhe dalam filem ini mencetuskan emosi penonton ditambah gabungan lagu serta tarian mengasyikkan.

Di belakang tabir, jurukamera dan petugas lain memainkan peranan yang sangat bagus apabila setiap sudut rakaman filem memberikan perasaan berlainan.

Secara teknikal, Radhe: Your Most Wanted Bhai mampu memberikan pengalaman menonton filem aksi yang menyeronokkan sepanjang dua jam filem ditayangkan.

Saksikan Radhe: Your Most Wanted Bhai yang ditayangkan menerusi laman sesawang dan aplikasi tonton CINEMA dengan hanya RM15 sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 4:37 PM