KAMPONG Pisang Musikal Raya Istimewa bakal menemui penonton di Astro First bermula esok.
KAMPONG Pisang Musikal Raya Istimewa bakal menemui penonton di Astro First bermula esok.
Najiy Jefri


KEJAYAAN francais Kampong Pisang terus mendapat sambutan luar biasa daripada penonton tempatan.

Selepas kejayaan meraih kutipan hampir RM5 juta menerusi 18 Puasa Di Kampong Pisang di saluran Astro First, kini francais terbabit tampil dengan edisi Syawal iaitu Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa bermula esok.

Apa yang menarik penonton bakal dihidangkan dengan gelagat mencuit hati barisan pelakon dalam membuat persiapan Aidilfitri menerusi filem muzikal itu.

Selain itu, setiap watak mempunyai konflik dan dilema masing-masing dalam menyambut Aidilfitri.

Ia bermula apabila seluruh penduduk Kampong Pisang bersama-sama mengerjakan aktiviti masak-memasak sehari sebelum Aidilfitri.

Pengarahnya, Mamat Khalid berkata, dia mahu mengembalikan nostalgia dan memori Aidilfitri menerusi koleksi lagu popular malar segar yang menjadi kegemaran ramai.

"Bersempena Aidilfitri, saya yakin ramai yang ingin bergembira walaupun kita semua beraya dalam keadaan norma baharu dan serba sederhana.

"Jadi, saya himpunkan lagu-lagu yang dekat dengan penonton ke dalam sebuah filem supaya sedikit-sebanyak dapat menceriakan hari mereka dengan berhibur serta mengembalikan nostalgia dan memori di Aidilfitri.

"Malah, istimewanya filem ini, ia turut menyelit cerita cinta dan semangat bermasyarakat di Aidilfitri yang sudah berbeza jika dibandingkan zaman dulu dan masa kini.

KAMPONG Pisang Musikal Raya Istimewa diarahkan oleh Mamat Khalid.
KAMPONG Pisang Musikal Raya Istimewa diarahkan oleh Mamat Khalid.

"Saya harap kehadiran filem ini mampu tunjukkan kepada generasi masa kini mengenai suasana dan berkasih sayang di Aidilfitri," katanya.

Sementara itu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya begitu teruja apabila jenama Kampong Pisang terus mendapat tempat di hati penonton.

"Jenama Kampong Pisang semakin kukuh dan sinonim dengan penonton serta peminat karya tempatan di Malaysia.

"Ia terbukti apabila francais ini hangat diperkatakan masyarakat, penggiat seni tanah air serta mendapat perhatian serta pujian daripada golongan industri lain sejak ia diperkenalkan menerusi filem, kemudian dibawa melalui drama premium Kampong Pisang Bersiri-Siri dan bersambung dengan filem di platform Astro First seperti 18 Puasa Di Kampong Pisang.

"Kami yakin karya Mamat sentiasa dinantikan dan apa yang kami boleh kongsikan, sudah pasti akan ada lebih banyak kerjasama di antara pihak kami dan Mamat dalam menghasilkan karya yang mampu menghiburkan penonton Malaysia sepanjang berada di rumah lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini.

Menurut Jastina, buat julung kali juga pihaknya membawakan francais Kampong Pisang yang berkonsepkan muzikal.

"Kali ini kami bawakan sebuah filem bertemakan Aidilfitri dan lebih uniknya ia adalah filem pertama daripada francais Kampong Pisang yang berkonsepkan muzikal.

"Mamat sentiasa mempunyai idea kreatif dalam menghasilkan karya. Kami sentiasa terbuka dalam memberi sokongan penuh kepada pengkarya diMalaysia dengan menyediakan platform untuk kembangkan kreativiti mereka supaya dapat disampaikan kepada penonton serta memeriahkan lagi industri filem tanah air.

PENAMPILAN Datuk Awie dalam filem muzikal ini bakal menggeletek hati penonton.
PENAMPILAN Datuk Awie dalam filem muzikal ini bakal menggeletek hati penonton.

"Kami harap filem muzikal ini dapat membuka ruang lebih besar di dalam industri agar genre seperti ini turut menjadi pilihan utama penonton Malaysia," katanya.

Filem muzikal ini masih mengekalkan barisan pelakon utama Kampong Pisang seperti Kazar Saisi, Aziz M Osman, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Mat London, Ahmad Yassin, Afea Deana, Joey Daud, Nazeera Sardi, Avaa Vanja dan Yoep Hitler.

Ia dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Awie sebagai teraju utama dibawa kembali serta watak-watak baru lakonan Kaka Azraff, Imuda serta penampilan istimewa Siti Elizad dan Raja Azmi.

Filem ini mengisahkan Husin kembali ke kampung bersama kekasih baru Nelly sehingga Cik Chun cemburu dan merajuk kerana cintanya ditolak.

Barkoba pula dikejutkan dengan kehadiran bekas kekasih yang pernah tinggalkannya dahulu kerana berkahwin dengan lelaki berjawatan pengurus kilang.

Pak Din pula sedih kerana anaknya tiba-tiba tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersamanya. Cik Purnama pula membawa beg pakaian dan tilam ke mana-mana kerana kesunyian.

Pak Karim dan Kak Som hiba kerana ini kali pertama beraya tanpa anak mereka yang sudah tiada.

Daud M pula perlu bekerja di malam raya bagi penghantaran barang-barang buat penduduk yang membeli barang di dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 6:53 AM