ANTARA selebriti yang menerima sumbangan daripada Kembara Amal sepanjang program berkenaan.
ANTARA selebriti yang menerima sumbangan daripada Kembara Amal sepanjang program berkenaan.
Hadzlan Hassan


Kuala Lumpur: Kembara Amal Ventures (KAVE) menyantuni 100 golongan seni membabitkan artis, kartunis dan wartawan selain 32 keluarga Orang Asli yang terkesan sempena program ziarah Ramadan, sepanjang minggu lalu.

Sumbangan berkenaan menyasarkan golongan terbabit yang kurang diberi perhatian sekalipun golongan itu turut terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Pengasas Bersama Kembara Amal yang juga penyanyi, Deja Moss berkata, sumbangan diperoleh daripada pelbagai agensi seperti Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Dr Azu Academy dan XNR LaserTag yang memudahkan program itu berjalan lancar.

Menurutnya, pihaknya mengaktifkan program Sumbangan Ramadan Raya Artis dan wartawan terkesan mengikut pematuhan SOP yang ketat.

"Selaras dengan PKP yang baru dilaksanakan, ia memberi impak tidak hanya kepada individu biasa namun juga golongan artis dan wartawan dilanda musibah.

"Mengikut perancangan asal, kami ingin mengadakan majlis berbuka puasa, namun disebabkan peningkatan kes Covid-19, majlis itu terpaksa dibatalkan dan kami menyantuni mereka di kediaman masing-masing," katanya.

Melalui program berkenaan, setiap individu menerima barangan keperluan dan duit raya manakala 32 keluarga Orang Asli Bukit Lagong turut menerima sumbangan kuih raya.

Sementara itu, Pakar Motivasi, Dr Azuraida Shahadan berkata, antara artis yang menerima sumbangan adalah seniwati Sofea Ibrahim, Normala Omar, S Azli, Zaiton Sameon, Yatie Tasrib, Norlia Ghani, Kismah Johar, A.Galak, anak Seniman Tan Sri P Ramlee, Sazali P.Ramlee, Fauziah Nawi, Siso Kopratasa, Mubarak Majid, Fredo (Flybaits) dan ramai lagi.

Menurutnya, sumbangan itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada legenda seni tempatan kerana mereka pernah menceriakan hidup kita melalui nyanyian, lakonan serta karya mereka.

"Ada antara sumbangan diberikan dari rumah ke rumah kerana kita tidak mahu membabitkan perhimpunan yang besar.

"Apa yang menarik, sumbangan turut diberikan kepada artis veteran bukan muslim iaitu Supamah @ P Logo Nadiu yang kini berusia 70 tahun dan hidup bersendirian selepas kematian anaknya setahun lalu. "Dalam melakukan kerja-kerja kebajikan dan kebaikan, kita tidak harus membezakan rupa paras, warna kulit atau bangsa, kerana kita tidak tahu kebaikan mana yang akan membawa kita ke syurga," katanya. Program sumbangan Ramadan adalah program ketiga Kembara Amal Ventures dalam bulan Ramadan ini selepas Ihya Ramadan bersama Anak Yatim Teratak Che Dah dan Program Wakaf Quran bersama Zayan Radio.

Individu yang ingin berinfak untuk sebarang program kebajikan kembara amal boleh ke Facebook dan Instagram Kembara Amal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 2:27 PM