ANTARA artis yang hadir pada sidang media.
ANTARA artis yang hadir pada sidang media.
Ramlah Zainal


Misi program Kembara­ Amal Kasih-Jerantut, Pahang anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Amaleens wajar dipuji dan perlu dicontohi rakyat negara ini.

Bukan sahaja membantu golongan memerlukan, program amal yang akan berlangsung pada 15 dan 16 Mei ini turut menggabungkan anggota Amaleens, penggiat seni lama dan baru serta pengamal media.

Menurut penaungnya, Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah, perancangan untuk menganjurkan program amal itu berlangsung pada tahun ini.

“Idea untuk menganjurkan program amal ini datang daripada anggota kumpulan Amaleens sendiri. Pada mulanya, kami merancang untuk buat program kecil-kecilan saja dan tidak sangka ia akan jadi acara sebesar ini.

“Pihak kami bersyukur kerana hasil perbincangan dengan Datuk Seri Shah Rezza, lebih 20 selebriti dan penggiat seni akan menjayakan program amal ini nanti. Ia turut mendapat kerjasama Pegawai Daerah Jerantut. Lebih bermakna, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah juga akan hadir,” katanya.

Tengku Aishah berkata, program Kembara Amal Kasih itu akan menyalurkan bantuan dan derma kepada golongan asnaf serta penduduk daif sekitar Jerantut, Pahang.

“Selain lawatan dari rumah ke rumah untuk menyerahkan sumbangan yang dikumpul, pelbagai aktiviti menarik turut disusun bagi mengeratkan lagi hubungan antara penduduk setempat, kerabat istana, artis dan pihak media.

“Acara amal ini julung kali diadakan. Kami berharap ia mendapat sokongan semua pihak dan akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Tengku Aishah ditemui pada sidang akhbar yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Tengku Aishah, pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada orang perseorangan mahupun badan korporat.

“Setakat ini, pihak kami berjaya mengumpul kira-kira RM200,000 untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Ia membabitkan enam kediaman asnaf di mukim Pulau Tawar iaitu di Rumah Banjir Bukit Rang, Kampung Kedondong, Kampung Bandar dan Kampung Bukit Rang 2.

“Sumbangan akan disalurkan kepada 167 asnaf (mereka yang berhak menerima sumbangan mengikut Majlis Agama Islam Pahang) dan seramai 24 keluarga asnaf pula akan menerima peralatan dapur, barang runcit dan wang tunai.

“Pada masa sama, pihak kami mengalu-alukan sumbangan dalam bentuk wang tunai dan sebagainya. Selain itu, kami berharap ada pihak yang sudi menaja kurma untuk diserahkan kepada penduduk memandangkan Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Gandingan artis lama dan baru

Golongan selebriti juga tidak mahu ketinggalan memeriahkan program yang bakal berlangsung antaranya, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Hattan, Datuk Ziela Jalil, Datin Zaiton Mohd Jiwa, Datuk Seri Shah Rezza, Datin Nina Juren, Datuk Yusni Hamid, Nassier Wahab, Datuk Eizlan Yusof, Datuk Nash, Rohana Jalil, Datuk Malek Riduan dan Azrinaz Mazhar Hakim.

Tidak ketinggalan, aktor popular Aaron Aziz, Maya Matahari, Salwa Abdul Rahman, Danny X-Factor, artis baru Kael dan ramai lagi.

Ahli jawatankuasa program, Shah Rezza berkata, apa yang menarik program itu menyaksikan artis lama dan baru bergabung tenaga.

“Selain menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan, pelbagai aktiviti menarik diatur seperti sukan rakyat dan segmen persembahan artis.

“Maklumlah, bukan mudah untuk menggabungkan artis lama dan baru dalam acara amal seperti ini berikutan agenda seni masing-masing yang padat.

“Saya berharap acara amal ini akan diteruskan pada masa akan datang dan lebih ramai artis muda akan mengambil bahagian ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 5:50 AM