PENGHANTAR makanan mengisi petrol percuma tajaan Kembara Amal Ventures, semalam. FOTO ihsan Kembara Amal Ventures.
PENGHANTAR makanan mengisi petrol percuma tajaan Kembara Amal Ventures, semalam. FOTO ihsan Kembara Amal Ventures.
Hadzlan Hassan


Ampang: Kira-kira 300 petugas barisan hadapan membabitkan penghantar makanan dan barang diraikan melalui sumbangan petrol percuma di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Sumbangan disampaikan penyanyi, Deja Moss dan Pakar Kepimpinan Diri, Keluarga & Organisasi, Dr Azuraida Shahadan pada 2 petang.

Majlis berlangsung selama dua jam itu dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat oleh pihak penganjur.

Selain mendaftar, semua pihak diwajibkan menjaga penjarakan fizikal untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

Dr Azuraida berkata, program itu sebagai tanda terima kasih dan menghargai golongan berkenaan yang banyak membantu orang ramai ketika pandemik Covid-19.

"Mereka juga hero kita kerana sentiasa berada di jalan raya untuk memastikan kita kekal di rumah.

"Idea untuk mengadakan program itu tercetus selepas berbual dengan seorang 'rider' makanan yang tidak cukup wang untuk mengisi minyak bagi meneruskan perjalanan menghantar pesanan pelanggan.

"Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, kami berharap ia meringankan beban mereka yang terdedah kepada pelbagai risiko ketika bertugas. Mungkin kecil nilainya untuk memenuhkan tangki mereka bagi kita, tapi besar nilai pada mereka," katanya.

Selain minyak, mereka turut menerima minuman percuma sementara menunggu giliran mereka dan sumbangan hasil derma orang ramai kepada Tabung Kebajikan Kembara Amal Ventures.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 9:55 PM