Najiy Jefri

Berbaki seminggu menyambut ketibaan Aidilfitri, pelawak Achey berkongsi berita duka apabila ibu tercinta, Ngaisah Hassan, 74, meninggal dunia jam 12.46 tengah malam tadi.

Berita berkenaan dikongsikan Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah menerusi satu hantaran di Instagram.

"Ya Allah. Permudahkan perjalanan mak di sana. Kami reda ya Allah. Saya atas motosikal lagi, baru balik dari kerja. Mak baik. Mak pergi di bulan yang baik (Ramadan).

"Semoga mak jalani waktu yang terindah. Al-Fatihah," tulisnya.

Menerusi hantaran di Instagram Story, Achey memaklumkan ibunya menghadap Ilahi pada malam yang tenang  sambil memandu ke kampung halamannya yang terletak di Segamat, Johor untuk urusan pengebumian ibunya.

"Mak pergi malam yang tenang," tulisnya.

Dalam satu hantaran lain, Achey turut meminta bantuan memerlukan sebuah van jenazah untuk membawa pulang jenazah ibunya dari Johor Bahru ke Segamat.

Difahamkan, Ngaisah baru beberapa hari menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru dan dilaporkan berada dalam keadaan kurang baik.

Achey sebelum ini memaklumkan keadaan kesihatan ibunya berada dalam keadaan tidak menentu dan kerap keluar masuk hospital, sehingga memaksa dia berulang alik dari Kuala Lumpur ke Johor setiap minggu untuk menjaga Allahyarham.

Pada Jun tahun lalu, Ngaisah pernah dimasukkan ke wad berpunca daripada masalah saluran pankreas yang juga dikatakan penyakit jarang dijumpai hingga menyebabkan berat badannya susut lebih 20 kilogram

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 7:35 AM