Antara komen-komen pelakon mengenai kenyataan penerbit, Fadzil Teh.
Antara komen-komen pelakon mengenai kenyataan penerbit, Fadzil Teh.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Keluhan penerbit Fadzil Teh mengenai sikap segelintir pelakon yang didakwa liat mempromosikan drama atau filem lakonan mereka di media sosial mendapat pelbagai respon daripada pelakon.

Kebanyakannya menyokong kenyataan Fadzil yang menyifatkan sikap mereka itu sebagai pemalas selain menganggap mempromosikan drama 'mengotorkan' Instagram masing-masing.

Pelakon Mustaqim Bahadon menerusi komen ditulis berkata, pelakon yang rajin mempromosikan drama tidak pernah dipandang.

"Selalu promo pun tak janji yang akan meletup. Sebab apa? Sebab bukan kegemaran stesen TV. Promo setiap minit pun mereka tak nampak," katanya.

Bekas penyampai radio yang kini menjadi pelakon, Ammar berpendapat, pihak stesen TV dan penerbit pula mempunyai pilihan dan kegemaran masing-masing.

"Cuba ambil yang selalu promosi drama atau filem yang mereka berlakon. Tapi susah kan sebab mereka bukan pilihan stesen TV atau penerbit.

"Sampai bila-bila pun nasib bukan kegemaran stesen TV atau penerbit takkan terbela. Dan akhirnya semakin ramai pelakon berbakat yang selalu perjuangkan karya mereka dan mempromosikan karya mereka disia-siakan," katanya.

Pelakon dan penerbit, Fadzil Zahari berkata, stesen TV pula kerap mengambil pelakon sama.

"Stesen TV tetap ulang ambil orang sama walau tidak promosikan drama di media sosial," katanya.

Difahamkan kenyataan Fadzil itu muncul selepas filem terbitan syarikatnya, Zeel Productions iaitu Seandainya Kau Ada yang kini ditayangkan di Astro First itu kurang dipromosikan pelakon filem itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 10:11 AM