FADZIL Teh.
FADZIL Teh.
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur : Penerbit syarikat produksi Zeel Production, Fadzil Teh menyambut baik usaha satu stesen televisyen tempatan memberi kuasa penuh kepada penerbit dan syarikat produksi memilih pelakon utama bagi membintangi sesebuah karya yang diterbitkan untuk stesen televisyen itu.

Fadzil berkata, ia adalah khabar gembira bukan saja untuk dirinya tapi juga penerbit lain yang sering berdepan kerenah artis dan pengurus yang meletakkan bayaran mahal dan 'tidak masuk akal'.

"Alhamdulillah, pasukan drama stesen TV sekarang dah memberi kuasa penuh untuk pilih pelakon utama. Jadi, mana artis dan pengurus  yang letak harga mahal, sekarang boleh 'blah'.

"Tidak ada lagi zaman nak buat aduan dan bercerita kepada orang stesen TV jika penerbit tolak untuk bekerjasama disebabkan soal bayaran.

"Selain itu, harga pelakon juga akan dibayar mengikut mutu lakonan dan bukan lagi hanya aktif di media sosial. Ini berikutan ada pelakon baharu yang lakonan tak seberapa tapi aktif di media sosial dan TikTok meletakkan bayaran mencecah RM4,000 satu episod, sedangkan lakonan mereka masih dianggap kayu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fadzil, keputusan dibuat stesen TV itu juga lebih kepada penghargaan buat mereka.

"Barulah nampak penerbit dihargai. Kalau tidak selama ni bila kita menghubungi mereka dan tegur, kita dibuat tak layan. Sebab mereka nak hubungi langsung pasukan drama stesen TV. 

"Apa pun, lega rasa. Terima kasih kepada yang melihat masalah penerbit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 11:36 AM