Fadzil Teh
Fadzil Teh
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: "Jangan marah kalau stesen televisyen dah tak nak ambil berlakon nanti. Ketika itu, jangan cakap penerbit tutup pintu rezeki walhal diri sendiri yang buat hal," kata penerbit Fadzil Teh mengenai sikap segelintir pelakon yang malas mempromosikan karya lakonan mereka di platform media sosial masing-masing. 

Fadzil berkata, sikap tidak bertanggunggjawab  sesetengah pelakon sudah pun sampai ke pengetahuan pasukan baru unit drama sebuah stesen televisyen yang akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pelakon yang 'berat tulang' untuk melakukan promosi. 

"Saya dimaklumkan pasukan baru unit drama sebuah stesen televisyen sangat memandang serius hal ini. Malah, pihak mereka tidak akan teragak-agak untuk tidak memberikan tawaran kepada pelakon yang enggan atau malas melakukan promosi. 

"Bagi saya, langkah ini sangat tepat kerana setiap pelakon perlu bertanggungjawab dalam mempromosikan karya mereka di media sosial masing-masing. 

"Kadangkala saya pun tak faham, kenapa mereka ini 'liat' sangat nak promosikan lakonan mereka sedangkan kalau drama atau filem mereka meletup, mereka juga untung dalam menaikkan saham diri sendiri. 

"Pasti banyak lagi tawaran baru yang datang selain boleh kenakan harga yang setimpal dengan populariti dan kejayaan mereka," katanya. 

Menurut Fadzil, biarpun sedikit terkilan dengan sikap pelakon yang enggan mempromosikan karya diterbitkan produksinya, namun dia bersyukur filem pertamanya, Seandainya Kau Ada menerima maklum balas positif daripada penonton. 

"Alhamdulillah maklum balas yang kami terima sangat baik. Tapi jika pelakon-pelakon filem ini dapat mempromosikan filem lakonan mereka dengan lebih aktif, saya percaya filem ini akan berjaya. 

"Bukan itu saja, nilai komersial setiap pelakon juga akan naik. Mereka boleh 'demand' selepas ini kerana kejayaan mereka menjayakan filem ini.

"Malah, kerajinan mereka juga akan dilihat oleh penerbit-penerbit lain yang akan menilai sejauh mana mereka mempromosikan karya mereka di platform media sosial masing-masing," katanya. 

Seandainya Kau Ada terbitan Zeel Production mempertaruhkan empat bintang iaitu Fendy Bakry, Ruhainies, Raysha Rizrose dan Aidit Noh.

Filem yang kini ditayangkan di Astro First itu diilhamkan daripada novel judul sama terbitan Buku Prima nukilan Kamsiah Abu.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 8:30 PM