PELAKON, Fendy Bakri. FOTO Aziah Azmee
PELAKON, Fendy Bakri. FOTO Aziah Azmee
Sudirman Mohd Tahir


“ORANG lain jangan jadikan komen saya satu isu besar atau sengaja nak melaga-lagakan saya dengan Haji Zil,” kata pelakon Fendy Bakry berhubung komen ditulis ‘kaki kipas dan bodek stesen TV’ yang ditujukan kepada penerbitFadzil Teh atau dikenali sebagai Haji Zil.

Komen Fendy itu ditulis di ruangan komen status pelakon Sharifah Sakinah baru-baru ini yang mempersoalkan keperluan pelakon mempromosikan drama lakonan di Instagram tanpa sebarang bayaran.

Fendy, 31, atau nama sebenarnya Mohd Affandi Nor Bakri berkata, komen itu adalah biasa dan Fadzil memahami yang mana ia hanya gurauan.

“Kami dah biasa main cakap lepas. Malah, di ruangan komen IG artis lain pun selalu buat macam itu. Cuma penerimaan dan pemahaman orang lain berbeza.

“Saya tak kurang ajar pun dan tidak ada apa-apa niat. Orang Utara kalau bergurau memang bunyinya agak kasar tetapi sesama kami saja tahu ia sekadar gurauan.

“Lagi pula, saya mengenali Haji Zil sebelum berlakon lagi. Jadi, melawak dengan cara itu sudah biasa. Dia pun faham apa yang dikomen itu sekadar gurauan. Saya berharap orang tak salah faham,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai isu dibangkitkan Sakinah, Fendy yang kini muncul dalam drama Ajari Playboy Itu di TV3 berkata, ia pendapat masing-masing selain ada pro dan kontra.

“Saya tak boleh salahkan Kinah (Sakinah) sebab itu pendapatnya tersendiri. Cuma, bagi saya tak ada masalah kalau nak mempromosikan drama sendiri di Instagram. Sekurang-kurangnya peminat boleh tengok drama itu.

“Lagi satu, perkara ini tak perlu dijadikan isu. Sebab, sebelum stesen TV memberikan video promo, pelakon terlebih dulu buat kerja mereka. Sebagai contoh memuat naik gambar di lokasi penggambaran. Ia secara tak langsung sudah mempromosikan drama itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 12:03 PM