CHLOE Zhao pengarah wanita Asia-Amerika pertama menang Oscar.
CHLOE Zhao pengarah wanita Asia-Amerika pertama menang Oscar.
Georgie Joseph


MESKIPUN dengan situasi pandemik yang masih merisaukan, penganjuran Anugerah Academy ke-93 atau Oscar 2021 tetap megah. Berlangsung dengan norma baharu di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat, jelas edisi kali ini meraikan kepelbagaian.

Ia dibuktikan dengan kemenangan cukup sama rata baik naskhah, pengkarya, mahupun pelakon dari pelbagai latar belakang. Semestinya, ia memberi kepuasan terutama buat pengikut setiap anugerah berprestij itu.

Kemenangan Nomadland yang diangkat sebagai Filem Terbaik, misalnya. Filem itu menewaskan tujuh karya hebat lain iaitu The Father, Judas and the Black Messiah, Mank, Minari, Promising Young Woman, Sound of Metal dan The Trial of the Chicago 7.

Naskhah itu cukup membanggakan apabila meraih sejumlah pengiktirafan sebelum ini. Namun paling istimewa, ia diarahkan wanita Asia-Amerika, Chloe Zhao.

Menjadi yang pertama dalam sejarah Oscar, kemenangan Zhao menerusi kategori Pengarah Terbaik membuktikan warga Asia tidak dipandang sepi. Serta-merta, ini menjadi tahun kedua kategori utama anugerah itu didominasi warga Asia di mana, Parasite menang tahun lalu.

Apapun, kekuatan Nomadland itu semestinya paling utama dalam kejayaan berganda naskhah itu. Bahkan, bintangnya Frances McDormant turut cemerlang membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik.

YOUN Yuh-jung pelakon Korea Selatan pertama menang Oscar.
YOUN Yuh-jung pelakon Korea Selatan pertama menang Oscar.

NOMADLAND lakonan Frances McDormant unggul dominasi kemenangan Oscar 2021.
NOMADLAND lakonan Frances McDormant unggul dominasi kemenangan Oscar 2021.

Sekali gus, dia mencipta sejarah tersendiri apabila kemenangan itu menjadi yang ketiga buatnya untuk kategori terbabit. Terdahulu, McDormant pernah menang untuk filem Fargo pada 1997 dan Three Billboards Outside Ebbing, Missouri (2018).

Meskipun pernah merasa trofi itu, dia tetap menyifatkan kemenangan terbaharu ini juga sangat besar maknanya. Baginya, pengiktirafan itu adalah bukti betapa selama ini perjuangannya untuk bersuara dalam filem meninggalkan impak besar.

"Saya hilang kata-kata. Suara saya ada dalam 'pedang' saya. Kita semua tahu, 'pedang' kita adalah hasil kerja dan saya suka kerja ini. Terima kasih kerana mengiktiraf hal itu dan terima kasih untuk ini (trofi)" katanya.

Zhao menerusi ucapannya pula berkata, kemenangan itu ditujukan kepada sesiapa juga yang sentiasa mencari kebaikan dalam sesuatu perkara.

"Satu frasa yang sentiasa melekat di kepala saya adalah setiap orang dilahirkan dengan kebaikan. Meskipun kedengaran kurang benar, namun saya sentiasa jumpa kebaikan setiap kali bertemu seseorang dalam dunia ini," katanya.

Selain Zhao, turut membanggakan semestinya aktres Youn Yuh-jung, 73, yang menjadi pelakon pertama Korea Selatan memenangi trofi Oscar. Dia dinobatkan Pelakon Wanita Pembantu Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Minari.

Untuk trofi Pelakon Lelaki Terbaik pula dimenangi Anthony Hopkins menerusi The Father manakala Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dimenangi Daniel Kaluuya untuk filem Judas and the Black Messiah.

DANIEL Kaaluya
DANIEL Kaaluya

Bagi Kaaluya, dia cukup bersyukur dan berbangga apabila dapat melakonkan watak Hampton yang ditembak mati polis Chicago sewaktu berusia 21 tahun pada 1969. Dia mendedikasikan kemenangan itu buat pejuang revolusi terbabit.

"Lelaki yang hebat. Betapa bersyukurnya dapat merasa tempoh sepanjang dia masih wujud. Terima kasih atas pengorbanan kamu," katanya.

Oscar 2021 sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 28 Februari lalu, namun ditunda kerana situasi pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan. Ia dipancarkan secara maya dari Dolby Theatre dan Union Station tanpa hos.

SENARAI PEMENANG ANUGERAH ACADEMY KE-93/OSCAR 2021:

  • Filem Terbaik: Nomadland (Chloe Zhao)

  • Pelakon Lelaki Terbaik: Anthony Hopkins (The Father)

  • Pelakon Wanita Terbaik: Frances McDormant (Nomadland)

  • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Daniel Kaluuya (Judas and the Black Messiah)

  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Youn Yuh-jung (Minari)

  • Pengarah Terbaik: Chloe Zhao (Nomadland)

  • Lagu Asli Terbaik: Fight For You (Judas and the Black Messiah)

  • Skor Asli Terbaik: Soul

  • Suntingan Filem Terbaik: Sound of Metal

  • Sinematografi Terbaik: Mank

  • Rekaan Produksi Terbaik: Mank

  • Kesan Visual Terbaik: Tenet

  • Dokumentari Terbaik: My Octopus Teacher

  • Dokumentari Pendek Terbaik: Colette

  • Filem Animasi Rencana Terbaik: Soul

  • Filem Animasi Pendek Terbaik: If Anything Happens I Love You

  • Filem Aksi Pendek Terbaik: Two Distant Strangers

  • Bunyi Terbaik: Sound of Metal

  • Rekaan Kostum Terbaik: Ma Rainey's Black Bottom

  • Mekap dan Tatarias Rambut Terbaik: Ma Rainey's Black Bottom

  • Filem Rencana Antarabangsa Terbaik: Another Round

  • Adaptasi Lakon Layar Terbaik: The Father

  • Lakon Layar Asli Terbaik: Promising Young Woman
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 6:52 AM