Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Fikry Ibrahim terpaksa menunda segala komitmen kerja di sini demi menjaga ibu tercinta, Bibi Zaleha, 73, yang diserang angin ahmar, dua hari lalu.

Fikry yang ketika ini berada di kampung halamannya di Jitra, Kedah berkata, ibunya kini sudah dibawa pulang ke rumah, namun keadaan kesihatannya agak lemah.

"Sebaik mengetahui ibu diserang angin ahmar, saya bergegas pulang ke Jitra. Memang tak fikir apa-apa mengenai kerja asalkan saya dapat bertemu ibu dengan segera.

"Ketika doktor maklumkan ibu sudah tidak boleh bercakap dan perlu dijaga makan dan mandinya, saya ambil keputusan untuk berada di Jitra buat sementara waktu.

"Banyak tawaran terpaksa ditolak pada saat-saat akhir, tapi saya tak boleh nak buat apa-apa sebab saya hanya ada dia. Selagi dia masih bernyawa, saya perlu menumpahkan sepenuh kasih sayang dan berbakti kepadanya," katanya.

Menurut Fikry, dia bakal berada di Jitra untuk tempoh masa yang panjang, namun sekiranya ada tawaran kerja yang bersesuaian dia akan cuba membahagikan masa demi kelangsungan hidup.

"Saya percaya dengan rezeki Allah. Walaupun saya terpaksa tolak beberapa tawaran drama tapi saya percaya Tuhan akan gantikan dengan perkara yang lebih besar.

"Buat masa ini, fokus utama saya adalah menjaga ibu, namun jika ada tawaran kerja yang singkat saya boleh pertimbangkan.

"Doakan semoga ibu saya kembali sihat dan sembuh. Saya hanya nak ibu saya kembali seperti sebelum ini. Saya sudah mula rindu untuk bersembang dengannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 5:03 PM