Zaara Talita


 

Kuala Lumpur: Pelakon, Fikry Ibrahim tidak dapat menahan sebak apabila berkongsi mengenai kesihatan ibunya, Bibi Zaleha, 74, yang diserang angin ahmar, dua tahun lalu. 

Fikri yang kini kerap pulang ke kampung di Jitra, Kedah untuk menjaga ibunya juga sanggup menunda semua komitmen kerjanya di sini demi ibunya. 

"Saya rasa kalau ketika ini orang beritahu duit tidak boleh membeli kebahagiaan, saya percaya kata-kata itu. Ini kerana jika suatu hari nanti dia (ibu) tiada, duit kerja yang saya cari selama ini tiada makna," katanya. 

Fikri berkata, pernah satu ketika ibu lupa namanya dan dia tidak mahu lagi melalui situasi itu. 

"Sukar untuk saya ungkapkan perasaan apabila berdepan situasi itu. Jadi, selagi ibu masih ada, saya ingin memanfaatkan masa bersama sebaiknya dengan dia. Alhamdulillah, adik-beradik dan saudara-mara juga turut mengambil giliran menjaga ibu di kampung. 

"Selain itu, saya juga kurang berinteraksi di media sosial kerana banyak menggunakan masa untuk diri sendiri dan fokus kepada ibu," katanya ketika ditemui di majlis sidang media pelancaran Dewi Remaja yang menampilkannya sebagai hos program itu yang bakal bersiaran bermula 16 Julai ini setiap Sabtu jam 8 malam di Astro Ria.

Fikri berkata, bagi menjaga ibunya, dia kerap balik ke Jitra dan menerima tawaran kerja bersesuaian demi kelangsungan hidup.

"Walaupun terpaksa menolak tawaran dan mengimbangi perniagaan dengan keluarga, saya bersyukur rezeki Allah SWT sentiasa ada dan tidak pernah putus," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 11:24 AM
Fikry Ibrahim pada sidang media Dewi Remaja 2022 di Z Botanica, One Utama. FOTO AZIAH AZMEE
Fikry Ibrahim pada sidang media Dewi Remaja 2022 di Z Botanica, One Utama. FOTO AZIAH AZMEE