Dhalan kini dirawat di HKL
Dhalan kini dirawat di HKL
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Dhalan Zainuddin, 75, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, selepas diserang angin ahmar ketika berada di Kangar, Perlis, Khamis lalu.

Anak bongsunya, Athinia Ines,21, ketika dihubungi berkata, bapanya terjatuh di dalam bilik hotel di Kangar pada jam 5 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah.

“Ketika itu ayah bangun untuk ke tandas sebelum dia tiba-tiba rebah. Mujur ibu tersedar dan terus menghubungi ambulans,”katanya.

Dhalan yang berada di Kangar untuk menjayakan program bersama anak-anak yatim turut ditemani isteri Datin Effa Rizan.

Athinia berkata, bapannya kemudian dikejarkan ke HTF dan disahkan mengalami angin ahmar. Beliau kemudian dipindahkan ke HKL semalam.

Athinia berkata, sebelum ini bapanya itu tidak pernah menghidap sebarang penyakit.

“Sebelum ini, kalau sakit pun cuma sakit biasa seperti batuk dan sebagainya. Jadi, apabila dia diserang angin ahmar, kami sekeluarga terkejut.

“Sehingga hari ini, doktor masih belum memaklumkan apa-apa sama ada dia boleh dibawa pulang ke rumah atau tidak kerana pihak hospital akan menjalankan MRI dan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:04 PM