RAYMOND Goh
RAYMOND Goh
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Selepas hampir dua minggu bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat diserang angin ahmar, penyampai berita, Raymond Goh meninggal dunia, pagi hari ini.

Berita sedih itu diumumkan isterinya, Faridah Teh dalam satu kenyataan kepada media.

Faridah berkata, dia dan keluarga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di atas kasih sayang dan sokongan padu sepanjang tempoh mencabar itu.

"Dengan rasa dukacita yang paling dalam dan berat hati kami mengumumkan pemergian Raymond Goh @ Muhammad Zaman Goh Abdullah yang menyentuh hati ribuan orang di negara ini.

"Raymond meninggal dunia dengan tenang pagi ini selepas melawan kesan serangan angin ahmar.

"Keluarga Raymond ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan dan penyokongnya di atas limpahan kasih sayang dan sokongan dalam tempoh yang mencabar ini," katanya.

Menurut Faridah, Allahyarham akan dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini.

"Jenazah akan disolatkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, di sini, selepas solat Asar," katanya.

Terdahulu, penyampai berita TV3 itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dimasukkan ke hospital di Petaling Jaya pada 30 Ogos lalu.

Goh memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 O'clock News dan kemudian beralih kepada Nightline di TV3.

Allahyarham berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun dan kini turut menjadi jurulatih untuk pengucapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 1:24 PM