RIVER Where the Moon Rises adalah drama pertaruhan terbaik di platform Viu.
RIVER Where the Moon Rises adalah drama pertaruhan terbaik di platform Viu.
Georgie Joseph

SEIRING permintaan tinggi penonton terhadap kandungan program dari Korea Selatan terutama drama, platform penstriman video Viu semakin rancak menawarkan kandungan seumpama antaranya drama terbaharu, River Where the Moon Rises.

Dibintangi dua nama besar, Kim So Hyun dan Ji Soo, siri genre era bangsawan itu turut menjadi perbualan ketika ini.

Hakikatnya, drama itu antara yang paling dinantikan dan mula ditayangkan secara eksklusif di Viu sejak 15 Februari lalu.

Ketua Pegawai Kandungan Viu, Virginia Lim berkata, mereka melihat pendekatan memperbanyakkan kandungan Asia sememangnya satu langkah tepat. Apatah lagi kualiti drama rantau ini semakin mengagumkan.

"Viu komited dalam menawarkan kandungan hiburan premium Asia yang terbaik buat penonton kami. Tahun ini, kami teruja untuk melabur lebih banyak dalam penghasilan siri asal terutamanya drama Korea.

"Tidak dinafikan, produk mereka menawarkan kualiti produksi terbaik dan sinematografi serta efek visual yang memukau. Dengan skrip dan bakat yang luar biasa, penonton tidak boleh lepaskan peluang untuk menyaksikan kisah cinta dramatik ini," katanya.

River Where the Moon Rises adalah adaptasi daripada cerita rakyat Korea yang dirakamkan dalam The History of the Three Kingdoms.

Ia mengisahkan cinta Puteri Pyeonggang (Kim So Hyun) dan panglima On Dal (Ji Soo).

Dilahirkan sebagai seorang puteri, tetapi dibesarkan seperti seorang pahlawan, Pyeonggang sudah menjelajah seluruh wilayah bersama ibunya yang juga permaisuri pada usia muda.

Sewaktu dalam penjelajahan, dia tiba di sebuah kawasan kampung. Di situ, dia bertemu Panglima On Hyeop dan anak lelakinya, On Dal.

Berkongsi cita-cita untuk menjadi pemerintah dan Ratu Goguryeo yang pertama, dia ditertawakan On Dal kerana wanita secara azalinya tidak terbabit dengan urusan pemerintahan.

Namun, dia tidak bermaksud untuk memperlekeh Pyeonggang. Sementara itu, permaisuri meminta bantuan On Hyeop bagi menangani konspirasi yang sedang berlangsung di ibu kota, namun kedua-dua mereka terbunuh dalam proses itu.

So Hyun tidak disangkal cukup popular dalam arena drama K-Pop. Kepelbagaian watak pernah dijayakannya menjadikan dia antara pelakon serba boleh paling diingati. Baik drama berunsur sejarah sehinggalah ke watak dalam komedi romantik.

KIM So Hyun
KIM So Hyun

So Hyun memulakan kerjayanya sebagai pelakon sejak usia kanak-kanak pada 2006. Antara drama yang berjaya menaikkan namanya ketika itu adalah Moon Embracing the Sun di mana dia melakonkan watak calon permaisuri jahat.

Ji Soo pula berjaya menawan penonton dengan daya tarikan dan penampilannya yang segak. Dia juga sudah melakonkan beberapa watak dalam drama romantik termasuk When I Was the Most Beautiful dan Strong Woman Do Bong Soon.

Bagaimanapun, penggambaran drama yang masih berlangsung itu terpaksa dihentikan semalam berikutan kontroversi membabitkan Ji Soo sejak beberapa hari lalu apabila seorang individu tampil membongkar kisah lama pelakon itu yang didakwa sebagai kaki buli dan melakukan pelbagai keganasan sewaktu bersekolah.

Walaupun Ji Soo sudah tampil memohon maaf, ia memberi kesan besar terhadap produksi drama terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:31 AM