SONG Kang tak henti kerja demi majukan diri.
SONG Kang tak henti kerja demi majukan diri.
Georgie Joseph

(Yang menemubual Song Kang secara maya, baru-baru ini)

Pengalaman adalah harta paling berharga untuk anak seni terus memajukan dan mematangkan diri. Tiada formula selain itu untuk dijadikan senjata dalam misi menjadi individu unggul.

Pelakon Korea Selatan, Song Kang, 29, sendiri mengakui formula itulah menjadi tiang perjuangannya selama ini. Dia cukup bertuah dapat dicabar dengan tawaran drama pelbagai genre.

Baginya, pencapaian itulah sebenarnya paling dibanggakan berbanding trofi anugerah. Menerusi pengalaman, dia menimba banyak ilmu untuk mengasuh dirinya terus matang.

"Sudah lebih tujuh tahun sejak saya mulakan kerjaya sebagai pelakon. Pada tahap ini, saya rasa secara peribadi sudah banyak pengalaman yang berjaya saya tuai dalam diri.

"Sepanjang tujuh tahun jayakan siri drama, membaca, majukan diri, saya cuba berkembang menjadi jauh lebih baik. Drama adalah elemen nombor satu yang membantu saya semakin matang," katanya.

Tidak disangkal, Song Kang antara nama pelakon paling bersinar dari negaranya sekarang. Satu dunia mengenalinya menerusi beberapa drama fenomena termasuk Sweet Home terbitan Netflix.

Pelakon tampan tinggi lampai ini yakin kerja-kerasnya berhasil kerana tawaran drama yang tidak putus. Drama jugalah menjadi 'menara garing' buatnya mencipta prestasi sehebat dimiliki sekarang.

"Setiap kali saya jayakan siri drama, ia memberikan perkara baharu untuk dipelajari. Ia juga memperluas tahap pemahaman saya dan secara peribadi membantu saya berkembang.

"Apa yang mencetus saya untuk terus berkembang dalam apa saja dilakukan adalah bekerja. Saya yakin saya seorang yang mahu terus maju dan tunjukkan prestasi terunggul menerusi hasil kerja," katanya.

Semestinya terbabit dalam Sweet Home dipilihnya sebagai pengalaman paling mencetus anjakan dalam dirinya. Banyak faktor menyebabkan dia terkesan berat dalam produksi itu.

Bukan setakat puas kerana naskhah terbabit melayangkan imaginasinya ke awangan. Tapi juga bagaimana dia memerah akal fikiran demi mencurah apa yang dipelajari di lokasi semaksimumnya.

"Apabila terbabit dalam siri Sweet Home, pembelajaran itu lebih berganda berbanding apa saya rasa dalam siri lain. Saya masih ingat betapa lengkap dan puas setiap kali tinggalkan lokasi penggambaran.

"Setiap hari saya melangkah keluar dengan bangga kerana memanfaatkan sepenuhnya otak saya. Menjalani perasaan begitu setiap hari membuatkan saya lebih bertambah matang," katanya.

SWEET Home 2 adalah drama yang belum pernah penonton lihat sebelum ini.
SWEET Home 2 adalah drama yang belum pernah penonton lihat sebelum ini.

Lantas, untuk musim kedua Sweet Home yang akan ditayangkan di Netflix bermula 1 Disember ini, dia merasakan tanggungjawab digalas lebih berat.

Watak Hyun-soo dibawanya diangkat setinggi-tingginya. Dia tahu penanda aras yang ditinggalkan musim pertama drama itu benar-benar berada di garis luar biasa.

"Oleh kerana musim pertama sangat disukai secara meluas, dalam fikiran saya cuma tidak mahu kecewakan sesiapa. Kami mahu berikan yang terbaik sebagaimana diharapkan ramai orang.

"Saya sangat fokus hidupkan watak. Baik aspek emosinya, permainan fizikal, penuhi tuntutan babak aksi. Saya benar-benar kaji dan dalami setiap babak untuk mempertajamkan watak saya," katanya.

Wataknya dalam musim baharu itu bukan lagi remaja keliru yang terpinga-pinga akibat dunia bertukar apokalips. Sebaliknya, watak itu perlu digambarkan sebagai perwira lebih matang.

"Untuk musim kedua, penonton dapat lihat perubahan mendadak julat emosi Hyun-soo. Akan ada kuasa baharu, muzik pun ditambah baik, selain penambahan menarik pada setiap karakter.

"Saya rasa semua semua aspek itu berjaya menghiburkan peminat kelak," katanya.

Sweet Home 2 wajib tonton

Berkongsi pembaharuan musim baharu drama arahan Lee Eung Bok dan Park So-hyeon itu, Song Kang boleh cakap dengan yakinnya bahawa ia adalah siri yang tidak pernah orang lihat lagi sebelum ini.

"Semestinya emosi dan dinamik antara setiap watak berubah drastik. Terdapat kemunculan watak baharu, kesan komputer grafik, peralatan teknikal baharu dan pelbagai teknologi terkini juga.

"Berbanding musim pertama, penonton takkan nampak lagi ramai watak dungu dan kurang kemahiran. Namun kerana Hyun-soo dalam musim baharu sudah lebih dewasa dan matang, perubahan itu tampak," katanya.

Song Kang juga tidak menafikan terkesan dengan watak-watak yang dimatikan pada musim pertama. Secara peribadi, dia ada hubungan cukup istimewa dengan rakan pelakon lain.

Biarpun cuma dapat merasai keseronokan bersama mereka pada musim terdahulu, dia sentiasa menyimpan rapi kenangan indah itu dalam hati.

"Apapun, saya seronok kerana semua rakan pelakon pada musim pertama kini masing-masing berjaya dalam karier. Saya akan sentiasa menyokong penuh perjalanan kerjaya mereka," katanya.

Pada musim pertama Sweet Home. kebanyakan babak aksi tertumpu kepada melawan raksasa. Tapi dalam musim baru, pelbagai aksi baharu dipamerkan di mana Hyun-soo memperguna kuasa baharu dimilikinya.

Selain Song Kang, musim kedua drama terbabit turut dibintangi Lee Jin-wook, Lee Si-young, Ko Min-si, Jung Jin-young, Yoo Oh-seong, Oh Jung-se, Kim Moo-yeol, dan Park Gyu-young

.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 6:00 AM