Georgie Joseph


SITKOM dari Korea Selatan berjudul So Not Worth It menjadi pertaruhan terbaru platform penstriman Netflix.

Apa yang menarik, ia bukan sitkom yang biasa dilihat daripada produksi negara itu.

So Not Worth It menampilkan jalan cerita yang jauh lebih segar di mana konsep pertembungan budaya menjadi titik fokus.

Walaupun menggunakan latar belakang cerita di Korea Selatan sepenuhnya, barisan pelakon ditampilkan adalah pelbagai bangsa.

Sekali gus, ia semestinya menjadi kelebihan terhadap sitkom arahan Kwok Ik-joon dan Kim Jung-sik itu. Warna-warni budaya daripada watak pelbagai warganegara satu pertaruhan yang berani.

Berkongsi mengenai sitkom itu, empat pelakon utamanya iaitu Choi Young-jae sebagai Sam, Han Hyun-min (Hyun-min), Shin Hyun-seung (Jamie) dan Park Se-wan (Se-wan) jelas teruja membintangi karya segar itu.

Mereka berpendapat banyak faktor yang menjadikan sitkom terbabit tampil berbeza daripada sitkom terdahulu di Korea Selatan.

Bukan setakat menghiburkan, mereka sifatkan karya itu juga bersifat universal.

"Menggunakan konsep kehidupan pelajar di 'dorm' sebuah universiti, ia menceritakan kisah pelajar yang sememangnya realistik. Di mana-mana universiti dalam dunia pun, pastinya memiliki cerita sebegitu.

"Jalan cerita mengenai pelajar universiti dalam sitkom ini pula sangat berwarna-warni kerana mereka datang daripada pelbagai latar belakang. Semestinya, golongan muda terutamanya akan menyukai cerita ini," katanya.

Hyun-seung pula mengakui dia paling seronok apabila cerita ini menampilkan kepelbagaian bangsa dalam wataknya.

PELAKON dan pengarah sewaktu sesi temu bual sitkom So Not Worth It.
PELAKON dan pengarah sewaktu sesi temu bual sitkom So Not Worth It.

Baginya, perkara itu sudah cukup membuktikan bahawa persahabatan tidak akan pernah mengenal warna kulit.

"Saya cuma ingin menekankan bahawa kepelbagaian bangsa serta budaya yang ada dalam cerita ini menjadi tunjang utama penting, sekali gus kita dapat melihat bagaimana interaksi mereka dipaparkan dengan tanpa batasan.

"Walaupun wujud perbezaan itu, ia langsung tidak menimbulkan sebarang konflik dari segi itu. Yang penting hanyalah bagaimana kehidupan mereka digambarkan sewaktu menjalani kehidupan di universiti," katanya.

Demikian juga garapan pentingnya tidak lain mesej yang dipaparkan.

Bagi Hyun-min, nilai persahabatan serta bagaimana setiap watak memiliki personaliti kuat menjadikan So Not Worth It berbaloi untuk ditonton.

"Saya harus akui, penggambaran untuk sitkom ini benar-benar menyeronokkan. Dapat bergandingan dengan barisan pelakon yang pelbagai membuatkan saya sendiri merasa pengalamannya cukup berharga.

MENAMPILKAN pelakon dari pelbagai latar belakang.
MENAMPILKAN pelakon dari pelbagai latar belakang.

"Paling utama, adalah setiap mesej yang akan disampaikan sepanjang perkembangan jalan ceritanya nanti. Banyak perkara yang kita boleh belajar terutama untuk pelajar muda di luar sana jadikan teladan," katanya.

Bagi Young-jae pula, dia percaya elemen seperti perbezaan budaya itu pastinya elemen segar yang cukup kuat disuntik dalam sitkom berkenaan. Dia melihat elemen itu satu wadah menyatupadukan semua orang dalam dunia tanpa sempadan.

"Kita akan dapat melihat tidak wujud pun jurang itu dalam perhubungan setiap karakter yang ada dalam sitkom ini. Meskipun ia disampaikan dalam bahasa Korea, sekali gus menjadikannya lebih menarik lagi.

"Penonton bakal menyaksikan bagaimana pelajar luar yang cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran di Korea Selatan. Menerusi sitkom ini, ia bakal memberi banyak maklumat berguna buat penonton yang mahu mendalami budaya Korea," katanya.

So Not Worth It sudah mula ditayangkan semalam menerusi Netflix sebanyak 12 episod. Ia berkisar kehidupan pelajar universiti menjalin hubungan dengan rakan baharu, percintaan dan situasi di asrama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 6:35 AM