Fad Bocey.
Fad Bocey.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Stesen radio Hot FM mengumumkan kehadiran pelawak Fad Bocey sebagai pelengkap segmen Jam Hot di samping  penyampai radio, Deen dan Haziq yang mula bersiaran semalam.

Menurut Ketua Program Hot FM, Ainul Farhana Razali, keserasian yang ditunjukkan Fad ketika ke udara sebagai penyampai jemputan bersama Deen dan Haziq menjadi faktor utama pemilihannya.

"Fad mempunyai kebolehan untuk menyampaikan sesuatu topik atau cerita dengan baik. Dia juga adalah seorang 'storyteller' yang bagus.

"Tambahan pula, Deen, Haziq dan Fad berkongsi banyak persamaan. Antaranya mereka bertiga meminati sukan bola sepak selain mereka juga adalah 'young daddy'.

"Ketika digandingkan kita boleh lihat keserasian mereka sewaktu ke udara. Kami percaya gandingan ini akan memberi impak yang positif kepada pengisian dan penerimaan pendengar terhadap segmen Jam Hot," katanya.

Ainul berkata, hampir dua tahun segmen Jam Hot dikendalikan oleh dua penyampai radio.

"Pemilihan Fad adalah langkah baru bagi memantapkan lagi barisan penyampai kami.

"Selain ke udara, keserasian dan persamaan antara mereka bertiga dalam menyediakan pengisian menerusi platform digital juga menjadi faktor besar mengapa kami mengambil langkah ini.

"Pemilihan Fad diharap dapat melengkapi Jam Hot sekaligus dapat menaikkan lagi jumlah pendengar untuk slot petang di Hot FM" katanya.

Jam Hot yang kini diterajui oleh Deen, Haziq dan Fad bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat bermula 4 petang hingga 8 malam.

Terdahulu Hot FM mengumumkan trio baru Geng Pagi Hot (GPH) iaitu Mark Adam, Fizie dan Riena Diana yang bersiaran  setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 6 hingga 10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 10:44 AM