DEEN
DEEN
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Selepas 10 tahun berkhidmat, penyampai radio Hot FM, Deen akhirnya menamatkan perkhidmatannya bersama stesen radio popular itu, hari ini.

Deen atau nama sebenarnya, Nordin Madian yang diberikan notis tujuh hari mulai 16 Julai itu berkata, hari ini adalah terakhir dia ke udara di stesen radio di bawah RIPPLE, Media Prima Berhad itu.

"Saya menjadi penyampai radio sejak 15 Oktober 2010 sebagai kakitangan kontrak dan pada 1 November 2017 sebagai 'service provider'.

"Saya amat bersyukur dikurniakan rezeki selama 10 tahun bersama Hot FM dan kini sudah tiba masanya untuk Hot HM membuat pertukaran barisan penyampai yang sememangnya rutin normal bagi sesebuah radio swasta selari dengan selera pendengar, permintaan pasaran, pelan perniagaan dan strategi kandungan," katanya.

Menurut Deen, dia menerima keputusan itu dengan profesional dan mengucapkan terima kasih kepada stesen radio itu.

"Saya menerima keputusan ini dengan profesional dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga, seluruh pasukan Hot FM, rakan media, rakan-rakan dan peminat yang sentiasa menyokong kerjaya saya selama ini," katanya.

Berkongsi lanjut, Deen berkata dia merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Pengurusan Komunikasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang tertangguh sejak tahun lalu.

"Perancangan paling utama sekali nak daftar semula pembelajaran yang tertangguh dari tahun lalu sebab jadual kelas bertembung dengan jadual kerja. Oktober ini pendaftaran semester baru, jadi doakan saya.

"Sejujurnya minat saya masih ada dalam bidang ini. Jadi, kalau ada peluang lagi untuk bekerja dalam penyiaran radio sama ada sebagai penyampai radio atau jawatan lain, insya-Allah mungkin saya akan cuba," katanya.

Deen adalah penyampai ketiga dari Hot FM yang mengumumkan tidak lagi bersama stesen radio itu. Sebelumnya, pada Isnin lalu Mark Adam dan Fizi dari segmen Geng Pagi Hot berkongsi hari terakhir mereka di Hot FM.

Kemudian, penyampai dari Kool FM iaitu Rea juga mengumumkan perkara sama, kelmarin.

Terdahulu, RIPPLE mengumumkan rancangan transformasi perniagaan susulan perlantikan kepimpinan kanan baharu yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Nazri Noran serta pelantikan Aaron Pinto sebagai Ketua Pegawai Kandungan RIPPLE dan Datuk Jake Abdullah sebagai pakar runding kepada RIPPLE.

Nazri dalam satu kenyataan berkata, transformasi perniagaan membabitkan perubahan operasi termasuk perubahan kandungan dan barisan penyampai untuk semua stesen radio RIPPLE.

"Ini adalah tanggungjawab kami untuk melakukan inovasi terhadap kumpulan radio. Kami akan kongsikan lebih banyak lagi maklumat dalam masa terdekat, dan kami begitu teruja untuk memberikan lebih banyak lagi kandungan menarik kepada pendengar setia radio di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 12:37 PM