Sasha (kanan) sudah dua kali terima suntikan vaksin Covid-19. FOTO INSTAGRAM SASHA SAIDIN
Sasha (kanan) sudah dua kali terima suntikan vaksin Covid-19. FOTO INSTAGRAM SASHA SAIDIN
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin dan suaminya Sirhan Wahab menerima suntikan vaksin Covid-19 buat kali kedua di Emirates Field Hospital, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Sasha yang kini menetap di Dubai selepas berkahwin dengan Sirhan pada Januari tahun lalu berkata, mereka menerima suntikan vaksin Sinopharm yang kedua itu selepas 21 hari mengambil suntikan pertama.

"Kami diberitahu oleh jururawat bahawa suntikan kedua ini lebih ringan daripada dos pertama yang sudah kami ambil. Seperti yang kita ketahui selepas mengambil dos pertama, mungkin kesan sampingannya ialah demam, alahan dan lain-lain, tapi dengan mengambil dos perlindungan, kami gembira mendengar kesan sampingan juga lebih ringan," katanya.

Menurutnya, selepas pulang dari pusat vaksin, dia merasa letih dan mengantuk, manakala Sirhan mengalami sedikit sakit kepala.

Bagaimanapun, selepas mengambil paracetamol dan tidur pada sebelah petang, mereka berasa sihat kembali.

"Setakat ini segala-galanya berjalan dengan baik dan kami saling mengawasi. Saya gembira untuk memberitahu bahawa kami berdua sudah kembali menjalani rutin harian biasa hari ini," katanya.

Kakak kepada pelakon Zain Saidin ini turut mengucapkan penghargaan kepada Menteri Kesihatan UAE kerana mengambil inisiatif melawan pandemik Covid-19 dengan menyediakan vaksin percuma kepada semua orang yang menetap di negara terbabit.

Terdahulu, pasangan ini mengambil suntikan pertama pada 24 Disember lalu. Mereka membuat keputusan untuk mendapatkan suntikan vaksin Sinopharm selepas melakukan perbandingan dengan sejenis lagi vaksin iaitu pfizer.

Mereka mengambil keputusan untuk menyuntik vaksin ini yang mempunyai keberkesanan sebanyak 86 peratus selepas mendengar khabar berkenaan mutasi terbaharu Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 3:48 PM