SASHA Saidin yang menetap di Dubai.
SASHA Saidin yang menetap di Dubai.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Sasha Saidin yang menetap di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bersama suami, Sirhan Wahab tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas menerima empat dos vaksin Covid-19 di negara itu.

Sasha, 44, yang juga anggota Elite berkata, walaupun tiada paksaan untuk mengambil dos penggalak, namun melihat pelbagai varian baru yang semakin agresif membuatkan dia enggan merisikokan diri.

"Saya sudah mengambil empat suntikan vaksin. Dos pertama Sinopharm pada Disember tahun lalu dan dos kedua Sinopharm pada Januari lalu.

"Dos pertama dan kedua Pfizer pula pada Ogos lalu. Saya mengambil dos penggalak (booster dose) ini kerana kerajaan UAE menyarankan penduduk yang mengambil vaksin Sinopharm sebelum ini untuk mengambil dos penggalak jenis Pfizer.

"Alhamdulillah saya tidak berdepan sebarang kesan sampingan teruk selepas mendapatkan dos penggalak kedua pada 29 Ogos lalu. Saya percaya setiap saranan yang dibuat pasti melalui proses kajian yang terperinci dan pihak berwajib juga tidak akan keluarkan saranan ini sewenang-wenangnya. Lagipun melihat kepada varian baru yang semakin mengganas, pasti ini adalah salah satu langkah terbaik," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sasha, rata-rata penduduk di UAE sudah menjalani kehidupan normal seperti biasa apabila kes jangkitan virus Covid-19 mencatatkan angka rendah setiap hari.

"Jumlah kes positif Covid-19 di sini terkawal iaitu kira-kira 300 saja setiap hari. Kebanyakan aktiviti sudah mula dibuka dan berjalan seperti biasa. Kebanyakan pengangkutan awam sudah tidak perlu mengamalkan penjarakan fizikal. Rata-rata penumpang sudah boleh duduk bersebelahan tapi wajib memakai pelitup muka.

"Sekolah juga sudah dibuka sejak bulan lalu. Kanak-kanak di sini juga sudah digalakkan untuk mengambil vaksin, namun jika ada ibu bapa yang tidak mahu anak mereka menerima vaksin mereka perlu membawa anak masing-masing menjalani ujian saringan setiap minggu untuk hadir ke sekolah," katanya.

Sasha berkata, kehidupannya di sana juga berjalan lancar kerana UAE antara negara terawal yang menggalakkan pengambilan vaksin dan mereka tidak pernah menutup pintu sempadan.

"Mereka menerima kehadiran pelancong luar dan kami juga boleh ke luar negara," katanya.

Sasha berpindah Dubai selepas berkahwin dengan Sirhan pada 20 Januari tahun lalu.

Sasha memiliki seorang anak lelaki, Adam Aryasenna Notosoemarsono, 11, hasil perkahwinan keduanya dengan warga Indonesia, Salyo Priyanto, namun bercerai pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 4:23 PM