SASHA akan membawa anaknya menetap di Dubai tahun ini.
SASHA akan membawa anaknya menetap di Dubai tahun ini.
Najiy Jefri

SELEPAS bergelar isteri kepada Sirhan Wahab, penyanyi Sasha Saidin mengambil keputusan berhijrah ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi mengikuti suaminya yang bekerja dalam sektor kewangan.

Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga terutama anak tunggalnya, Adam Aryasenna Notosoemarsono, 12, Sasha mengakui seronok menjalani kehidupan baharunya itu.

Sasha yang juga anggota kumpulan Elite berkata, selepas hampir setahun menetap di Dubai, dia selesa menjadi suri rumah dan berkenalan dengan ramai rakyat Malaysia yang tinggal di sana.

"Di Dubai kehidupan saya cukup ringkas. Saya hanya menjadi suri rumah menemani suami yang masih bekerja dari rumah. Enam bulan pertama saya tidak ke mana-mana dan memang tidak mengenali sesiapa. Ketika itu, Dubai pun menjalani kehidupan norma baharu dengan bekerja dari rumah.

"Namun, selepas setahun di sana, saya mula berkenalan dengan ramai rakyat Malaysia. Sekarang saya sudah dapat membiasakan diri dan berasa lebih yakin tinggal di sana," katanya.

Menurut Sasha, dia mengakui merindui anaknya yang menetap dengan ibunya di sini dan akan sentiasa bertanya khabar.

"Sebelum berkahwin saya bergelar ibu tunggal selama lapan tahun. Jadi kehidupan saya hanyalah bersama ibu dan anak. Saya dan ibu juga tinggal berdekatan.

SASHA semakin menyesuaikan diri menetap di Dubai bersama suami.
SASHA semakin menyesuaikan diri menetap di Dubai bersama suami.

"Jika sibuk bekerja, anak memang akan berada bawah jagaan ibu saya. Jadi, setahun tidak dapat bertemu memang saya rindukannya. Apapun saya percaya Allah sebaik-baik perancang kerana sepatutnya Arya akan dibawa sekali ke Dubai, tapi tak sangka seminggu selepas kami tiba di Dubai sempadan negara ditutup.

"Perancangan itu tertangguh, tetapi pandemik membuka mata saya, sepanjang setahun Arya yang menemani ibu. Dia menjadi seorang yang sangat matang walaupun baru berusia 12 tahun," katanya.

Menurut Sasha, dia kini dalam perancangan untuk membawa anak tunggalnya itu ke Dubai Disember depan.

"Jika tiada aral, sekitar Disember ini Arya bersama ibu akan ke Dubai. Saya sudah memilih sekolah di sini dan dia harus mengambil peperiksaan kemasukan terlebih dahulu.

"Saya bersyukur walaupun tahun lalu hampir setahun Arya tidak ke sekolah, tetapi ibu menjadi gurunya di rumah dan dia berjaya mengekalkan momentum pelajarannya," katanya.

Ditanya mengenai perancangan menambah zuriat, Sasha berkata, dia tiada perancangan ke arah itu dan enggan membebankan fikirannya.

"Soal cahaya mata saya serahkan kepada Allah, buat masa ini kami masih belum dikurniakan rezeki.

"Lagipun memiliki anak bukanlah keutamaan kerana masing-masing sudah memiliki anak daripada perkahwinan terdahulu. Suami memiliki dua orang anak dan saya seorang. Kami juga sedar umur pun bukan lagi muda, tetapi jika diberi rezeki kami bersyukur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 6:20 AM