LAGU Tak Mau Mau bawa peluang buat Aidilia bekerjasama dengan Tik Tok Malaysia. FOTO Rohanis Shukri
LAGU Tak Mau Mau bawa peluang buat Aidilia bekerjasama dengan Tik Tok Malaysia. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


MESKIPUN ada minat pada nyanyian, ia tidak menjadi harapan buat pendatang baharu dikenali sebagai Aidilia Hilda, 26, untuk dirinya mendapat peluang bergelar penyanyi.

Bukan tidak yakin pada diri, tetapi Aidilia atau nama sebenarnya Aidilia Hilda Abdul Halim lebih banyak menimba pengalaman kerja sebagai pengurus produksi.

Bagaimanapun, aturan rezeki daripada Allah akhirnya memberi peluang kepadanya bergelar penyanyi dan Aidilia muncul dengan single solonya berjudul Tak Mau Mau.

Lagu bergenre pop yang berkisar kisah cinta itu, hasil ciptaan bersama melodi serta liriknya oleh Achoi Floor 88 dan Oja Gegar Vaganza. Bagi Aidilia, yang pasti dia perlu mencuba.

"Saya sangat berbesar hati dapat merakamkan lagu Tak Mau Mau. Sebaik mengetahui saya berpeluang cuba nasib menjadi penyanyi, saya terus berbincang dengan keluarga.

'Alhamdulillah, saya tidak mendapat sebarang halangan kerana keluarga tahu saya minat menyanyi sejak kecil. Bahkan, saya juga ada sertai uji bakat untuk pertandingan menyanyi, tapi tiada rezeki.

"Saya tak kecewa pun ketika itu kerana berfikir mungkin rezeki saya dalam bidang lain. Ditambah, bidang pengajian yang saya ikuti pun bukan nyanyian, namun lebih ke arah pengurus produksi," katanya.

Apa pun, dengan peluang dimiliki kini dan sudah ada pula lagu sendiri dan mengakui bukan mudah mendapat peluang dan dia perlu membuktikan diri berbakat.

AIDILIA gembira kini muncul dengan single pertama, Tak Mau Mau. FOTO Rohanis Shukri
AIDILIA gembira kini muncul dengan single pertama, Tak Mau Mau. FOTO Rohanis Shukri

Lagu Tak Mau Mau yang dilancarkan Aidilia sekitar sebulan lalu termasuk muzik video di muat naik di YouTube, hingga kini mencatat 1.2 juta tontonan. Jelasnya, ia satu pencapaian sangat positif.

"Terima kasih kepada semua pendengar yang menyokong lagu saya. Diharapkan semoga lagu Tak Mau Mau menghiburkan kalian. Ditambah, ketika ini pun negara kita masih berhadapan pandemik Covid-19.

"Apa yang pasti, saya sudah berusaha merakamkan lagu Tak Mau Mau sebaik mungkin. Bagi saya, lagu ini karya yang bagus kerana melodi dan liriknya agak 'catchy'. Ia santai didengar," katanya.

Selain mendapat perhatian di YouTube, lagu Tak Mau Mau juga menjadi tarikan warganet di platform TikTok kerana lagu itu dipilih bekerjasama dengan TikTok Malaysia.

Menurut Aidilia, dengan pengalaman yang masih 'hijau' sebagai penyanyi, dia gembira menjadi antara bakat baharu bertuah kerana dapat bekerjasama dengan TikTok Malaysia untuk lagu solo pertamanya.

Terdahulu, Aidilia pernah muncul sebagai model dalam muzik video lagu Zalikha nyanyian Floor 88. Kini, Aidilia turut membintangi drama pendek, Rusa After Class musim kedua di YouTube bersama Sarah Suhairi, Azzam Sham, Sheryl Syazwanie dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 6:15 AM