LESTI Kejora, Rizky Billar selesa jika hanya bergelar teman.
LESTI Kejora, Rizky Billar selesa jika hanya bergelar teman.
Norhayati Nordin

NAMA penyanyi dangdut Indonesia, Lesti Kejora kini terus hangat dibincangkan warganet di negara jiran itu kerana sikapnya yang positif dan disenangi ramai.

Malah, Lesti atau nama sebenar Lestiani Andryani, 21, cukup dikagumi kerana keberaniannya menghadiri majlis pernikahan bekas kekasih, baru-baru ini.

Apapun, sikap Lesti yang cepat 'move on' daripada kisah putus cintanya itu membuatkan dia meraih populariti meluas termasuk digosipkan 'cinta baharu'.

Lesti yang pernah popular dengan lagu Kejora, kini dikaitkan memiliki hubungan rapat dan mesra dengan pelakon dan juga model kacak dikenali Rizky Billar, 25.

Bagaimanapun, Lesti dalam temubual media memaklumkan status hubungannya dengan Rizky tidak ada yang istimewa dan hanya sekadar teman biasa.

"Saya banyak belajar daripada pengalaman lalu. Jadi, untuk masa ini rasanya belum sesuai untuk pacaran (bercinta). Saya mahu lebih fokus pada kerjaya.

"Lagi pun, saya kini selesa hanya berteman. Bagi saya, bersahabat dengan menjalin silaturahim yang baik itu sudah memadai. Tak usah buru-buru cinta," katanya.

Mengulas dirinya yang dikatakan sangat sepadan dengan Rizky, ujar wanita genit ini mereka suka bergurau dan kemesraan itu dijalin spontan.

LESTI mahu tumpu pada kerjaya.
LESTI mahu tumpu pada kerjaya.

"Saya ini sangat suka ketawa. Jadi, apa saja yang saya lihat lucu, memang akan ketawa. Apatah lagi, Rizky pula suka buat perkara yang melucukan.

"Bagaimanapun, setakat ini kami ikhlas dalam hubungan persahabatan dijalin. Ditambah, pertemuan dengan ibu Rizky baru-baru ini pun buat saya selesa," katanya.

Mengulas kerjaya nyanyiannya pula, Lesti baru muncul dengan lagu baharu berjudul Kulepas Dengan Ikhlas ciptaan komposer Adibal Sahrul.

Dilancarkan video muziknya di Youtube pada 5 Ogos lalu, lagu berkenaan kini 'trending' nombor satu di YouTube Indonesia dan mengalahkan lagu Cuek nyanyian Rizky Febian.

"Saya melihat ia sambutan agak luar biasa daripada peminat dan pelayar YouTube untuk lagu ini. Memang tak disangka ia sangat cepat diminati ramai.

"Apapun, terima kasih kepada semua peminat yang setia menyokong kerjaya nyanyian saya selama ini. Terus doakan saya memperoleh kejayaan.

"Saya akan tingkatkan usaha untuk memberi yang terbaik dalam hasil kerja seni demi peminat semua. Hanya Allah dapat membalas kebaikan kalian ini," katanya.

Sehubungan itu, dalam tempoh seminggu video muzik lagu Kulepas Dengan Ikhlas dimuat naik di YouTube, ia sudah mencatat lebih 20 juta tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 6:15 AM