SINGLE terbaharu, Sheryl tampil dengan Jangan Ragu.
SINGLE terbaharu, Sheryl tampil dengan Jangan Ragu.
Norhayati Nordin


HANYA hangat dengan kisah cintanya bersama penyanyi Azzam Sham, selain itu nama Sheryl Shazwanie, 24, tidak pernah terkait dengan sebarang cerita sensasi mahu pun kontroversi.

Malah, dia yang juga sudah lali dengan pelbagai kritikan diterima, selesa membiarkan saja apa yang hendak diperkatakan orang terhadap dirinya.

Selama enam tahun membina kerjaya nyanyian, Sheryl atau nama sebenar Sheryl Shazwanie Samsulbahri mengakui banyak dugaan ditempuhi terutama dalam memastikan single yang dirakam mendapat sambutan.

"Kalau diukur dari segi popular dan nama dikenali, saya sedar masih perlu terus berusaha lagi. Ini kerana, dalam kerjaya nyanyian ada pasang dan surutnya.

"Saya dulu pernah hilang semangat dan rasa tak mahu menyanyi lagi ketika single pertama Hati Hati Dengan Cinta yang dilancar pada 2017 kurang mendapat sambutan.

"Namun, keadaan sebaliknya dengan kehadiran single Perasaan pada 2018 yang membantu saya dikenali segelintir peminat. Jadi, saya rasa selagi ada rezeki menyanyi, baik teruskan saja," katanya.

Muncul dengan single baharu berjudul Jangan Ragu ciptaan Asfan Shah pada Februari lalu, Sheryl berkata, dia gembira lagu itu semakin mendapat sambutan, mesra pendengar dan tersenarai dalam carta lagu popular di radio.

BERSYUKUR single baharu berjudul Jangan Ragu semakin mendapat sambutan.
BERSYUKUR single baharu berjudul Jangan Ragu semakin mendapat sambutan.

"Saya tak menjangka dalam situasi pandemik sekarang, lagu Jangan Ragu masih ada rezekinya diminati pendengar. Bagi saya, syukur pada Allah kerana masih ada ruang bernafas untuk kerjaya nyanyian ini.

"Hampir dua tahun Covid-19 melanda negara, saya akui sudah lama tidak menyanyi. Malah, untuk promosi lagu Jangan Ragu di radio pun saya tak dapat buat," katanya.

Ditanya mengenai sumber pendapatan, Sheryl tidak berselindung dan memaklumkan ia diperoleh hasil dari saluran YouTube miliknya dan 'review' produk di Instagram.

"Alhamdulillah, sepanjang pandemik ini rezeki pendapatan saya datangnya dari 'content' di YouTube dan Instagram. Cukup untuk menampung kelangsungan hidup saya.

"Saluran Youtube saya hingga kini mempunyai 563,000 'subscriber' dengan 125 video yang dimuat naik. Bahkan, setakat ini juga jumlah tontonan semua video saya mencecah 87 juta.

"Terus terang saya akui hanya mampu bersyukur dengan rezeki Allah. Meskipun kerjaya nyanyian saya seakan suram, tapi rezeki tetap ada dari cabang yang lain. Saya pun bukan selalu muat naik video baharu di YouTube," katanya.

SHERYL dan Azzam sudah siapkan satu lagu duet baharu mereka.
SHERYL dan Azzam sudah siapkan satu lagu duet baharu mereka.

Kata Sheryl lagi, saluran YouTube itu dibangunkannya sejak 2013 dan memuat naik video lagu 'cover' popular dinyanyiankan. Katanya, ia sekadar untuk berkongsi minatnya menyanyi pelbagai jenis lagu.

"Sebenarnya saya pun tak bercita-cita nak jadi penyanyi. Hanya kerana minat, tapi rezeki dari Allah yang sudah membawa saya melangkah sejauh ini. Jadi, sekarang saya ikut 'flow' saja.

"Malah, genre muzik yang sesuai dengan vokal saya adalah balada. Jadi, saya akan terus menyanyikan lagu balada, manakala genre muzik lain pernah juga cuba, tapi kurang dapat sambutan," katanya.

SHERYL Shazwanie akui peroleh pendapatan dari YouTube dan ‘review’
SHERYL Shazwanie akui peroleh pendapatan dari YouTube dan ‘review’

Rakam single duet

Sudah merakamkan beberapa lagu duet 'cover' dan sendiri seperti Suaramu Syairku, Bicara Rasa, Saat Bahagia dan Jika Ini Takdirnya,

Sheryl berhasrat mahu tampil dengan karya duet pada tahun depan.

Bakal berganding dengan kekasih hati, Azzam katanya, mereka sudah berjaya menyiapkan satu lagu duet baharu bersama-sama. Cuma, belum dapat dirakamkan di studio lagi.

"Saya dan Azzam, kami bercadang mahu tampil menyanyi duet dengan lagu sendiri. Apatah lagi, ia sebagai memenuhi permintaan peminat kami. Alhamdulillah, sokongan diterima sangat positif.

"Kami mahu terus cuba berduet lagi walaupun single terdahulu, Jika Ini Takdirnya mendapat sambutan yang baik. Lagipun, menyanyi lagu duet ada cabaran tersendiri," katanya.

Berbicara mengenai lakonan, Sheryl yang berlakon dalam Rusa After Class di YouTube berkata, pembabitannya sekadar mencuba kembangkan bakat seni. Ditambah, dapat peluang dari pihak syarikat rakamannya.

"Untuk lakonan, bagi saya sekarang biar berlakon dalam 'content' YouTube dulu. Saya masih perlu timba banyak pengalaman berlakon lagi jika mahu mencuba nasib beraksi dalam drama selepas ini.

"Apapun, saya tak nak terburu-buru dalam membuat keputusan. Pada saya, rezeki akan tetap datang kepada saya apabila sampai waktunya. Jadi, tak perlu saya nak memaksa diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 6:10 AM