Kuala Lumpur: Kemunculan TikTokers dikenali Ratu Farah Diva yang bergandingan dengan Shah Rezza dan Aidilia Hilda dengan lagu Sikok Bagi Duo menerusi YouTube Rusa Music mendapat kritikan pelbagai pihak.

Rata-ratanya meluahkan perasaan tidak senang dengan senario yang dikatakan semakin merosak dan menjahanamkan industri muzik tanah air ini.

Komen-komen peminat jelas menghentam dan menyalahkan Rusa Music kerana mengeluarkan produk yang dianggap 'sampah' di pasaran.

Sementara itu, individu menggunakan Shhir.Irfan dipercayai mempunyai kaitan dengan industri muzik tempatan dilihat cuba mempertahankan Rusa Music apabila menjelaskan rasional pemilihan lagu ini.

"Ni just (cuma) cover dari lagu Satu Hati Bagi Duo by (nyanyian) Upiak, so (jadi) diaorang (mereka) buat ni versi TikTokers Malaysia.

"Diaorang (mereka) kasi Ratu cover lagu ni sebab Ratu lain dari yang lain, 'hidden talent' (bakat tersembunyi) 'keep it up, but better auto tune' (teruskan, tapi lebih baik gunakan auto tune) kan lagi suara Ratu jadi suara 'singer' (penyanyi) yang betul-betul 'singer'," tulisnya.

Bagaimanapun, kecaman demi kecaman yang diterima ternyata meningkatkan lagi tontonan untuk lagu terbabit yang kini mencatat 346,000 tontonan dan 67,000 tanda suka serta 27,000 komen.

Sikok Bagi Duo nyanyian asal Upiak mencetus fenomena di TikTok serta menjadi pilihan 'cover version' ramai artis di sana. Penyanyi tanah air, Baby Shima juga tidak ketinggalan berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 11:33 AM