Wany Hasrita memakai gelang pink. FOTO Instagram
Wany Hasrita memakai gelang pink. FOTO Instagram
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Tindakan penyanyi popular, Wany Hasrita memakai gelang 'pink' atau merah jambu menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat.

Pembantu peribadi Wany yang dikenali sebagai Nur Anisah berkata, penyanyi lagu Canggung itu tersenarai sebagai kontak rapat penyanyi, Alif Satar yang disahkan terkena jangkitan Covid-19 pada Ahad lalu.

"Disebabkan ramai bertanya kenapa kena pakai gelang 'pink', saya ingin menjelaskan oleh sebab nama Wany berada dalam senarai kontak rapat Abang Alif Satar, makanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghubungi dan mengarahkan kami datang klinik kesihatan ambil surat kuarantin dan pakai gelang 'pink' walaupun keputusan ujian saringan Covid-19 kami adalah negatif.

"Ini adalah kerana proses kuarantin masih dijalankan selama 14 hari dan wajib pakai gelang 'pink' serta duduk di rumah. 3 Disember ini kami akan menjalani ujian saringan kedua.

"Jika negatif gelang akan dipotong. Doakan kami dan juga kepada semua terbabit dalam separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) agar urusan dipermudahkan," katanya.

Sementara itu, Wany menerusi hantaran di Instagram memaklumkan dia kini menjalani kuarantin di rumah.

"Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghubungi saya untuk ke klinik kesihatan ambil surat kuarantin dan pakai gelang 'pink'.

"Selepas saya buat ujian saringan dan keputusannya negatif dua hari lalu, sekali lagi saya buat ujian saringan pada 3 Disember depan. Sekarang ini saya sedang menjalani kuarantin di rumah," katanya.

Terdahulu, Wany turut terbabit dalam episod pertama SFMM 35 pada Jumaat lalu bersama Alif Satar.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 11:25 AM