STACY antara penyanyi yang turut bertanding dalam separuh akhir Muzik Muzik 35, Jumaat lalu. FOTO Facebook
STACY antara penyanyi yang turut bertanding dalam separuh akhir Muzik Muzik 35, Jumaat lalu. FOTO Facebook
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Beberapa penyanyi yang membuat ujian saringan Covid-19 selepas terbabit pada pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) pada Jumaat dan Sabtu lalu disahkan negatif, semalam.

Mereka terdiri daripada Hael Husaini, Wany Hasrita, Stacy, Ernie Zakri, Syamel, Sherry Al Hadad, Haziq Hot FM, Dayang Nurfaizah, Zizi Kirana, Aina Abdul, Naim Daniel dan Tuju K-Clique.

Turut berkongsi hasil ujian saringan negatif adalah juri yang terbabit seperti Helen Yap dan Ajai.

Ia susulan penyanyi, Alif Satar yang membuat persembahan pada episod pertama SFMM 35 disahkan positif wabak itu, kelmarin.

Pengacara program itu, Sherry Al Hadad berkata, dia akan membuat satu lagi ujian saringan pada hari ke-10 atau 12.

"Alhamdulillah atas berkat doa semua. Proses kuarantin masih dijalankan walaupun keputusan negatif. Hari ke-10 atau 12 saya akan melakukan ujian yang kedua.

"Terima kasih kepada doktor dan jururawat yang menguruskan kami semalam (kelmarin). Buat Alif Satar, kami doakan semoga Alif serta keluarga cepat sembuh," katanya.

Bagi penyanyi, Stacy yang membuat persembahan pada Jumaat turut memaklumkan dia akan menjalani sekali lagi ujian saringan pada hari ke-10 atau 12.

"Alhamdulillah hasil ujian saya negatif. Terima kasih atas doa dan ucapan. Sekarang kena kuarantin sendiri sementara menunggu ujian kedua pada hari ke-10 atau 12 nanti," katanya.

Penyanyi, Naim Daniel turut memuat naik laporan hasil ujian yang dibuat di pusat perubatan MSU, Shah Alam.

"Assalamualaikum semua, di sini saya ingin maklumkan hasil ujian saringan adalah negatif. Doa yang baik-baik," katanya.

Wany Hasrita yang membuat ujian saringan di MSU Medical Centre menerusi hantaran di Instagram Story berkongsi laporan ujian itu.

Sementara itu, syarikat pengurusan Rocketfuel yang mewakili penyanyi Hael Husaini, Ernie Zakri, Syamel dan Amira Othman memaklumkan mereka tidak diharuskan menjalani proses kuarantin.

"Pihak pengurusan Rocketfuel ingin memaklumkan bahawa artis dan 'team' di bawah naungan Rocketfuel Entertainment yang terbabit dalam SFMM 35 iaitu Hael Husaini, Ernie Zakri, Syamel dan Amira Othman disahkan negatif Covid-19.

"Walaupun tidak diharuskan menjalani kuarantin, pihak Rocketfuel akan sentiasa memantau perkembangan semasa artis kami. Semoga kita semua dilindungi dan dijauhkan dari wabak ini," katanya.

Penyanyi, Ernie Zakri menerusi hantaran di Instagram berkata, dia tetap akan menjalani kuarantin sendiri di rumah.

"Syukur Ya Allah. Kami tidak diharuskan menjalani ujian saringan kedua dan kuarantin kerana bukan kontak rapat Alif Satar. Namun, langkah berjaga-jaga harus diambil. Keputusan saya adalah negatif, alhamdulillah.

"Ujian saringan kedua juga tidak perlu, memadai hanya sekali. Apa pun, kuarantin sendiri kena juga. Doakan kami. Kepada semua rakan terbabit, selamat menjalani kuarantin. Jumpa kembali nanti, insya Allah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 9:42 AM