(DARI kiri) Ernie, Naim dan Sherry berkongsi berita gembira keputusan saringan Covid-19.
(DARI kiri) Ernie, Naim dan Sherry berkongsi berita gembira keputusan saringan Covid-19.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Beberapa artis yang menjalani kuarantin kendiri sejak 23 November lalu disahkan bebas Covid-19 selepas melakukan ujian saringan kedua.

Antaranya, Naim Daniel, Ernie Zakri, Syamel, Wany Hasrita, Sherry Al Hadad, Andi Bernadee dan Haziq Hot FM.

Naim Daniel berkata, dia berterima kasih atas doa yang dititipkan peminat.

"Alhamdulillah, saya bebas dari Covid-19. Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Saya sudah selitkan doa buat kalian semua di baju #purnamanaim yang saya pakai ni," katanya.

Bagi Ernie Zakri pula, keputusan itu sekali gus melegakan dirinya dan sudah bersedia kembali bekerja seperti biasa.

"Selepas hampir dua minggu menjalani kuarantin, saya dan Syamel ambil keputusan untuk buat ujian saringan kedua walaupun bukan kontak rapat sebab kita tak tahu kan apa yang boleh terjadi. Alhamdulillah, hasil keputusan kami negatif.

"Syukur juga apabila doktor beritahu kami tidak perlu lagi menjalani kuarantin. Kami sudah boleh kembali bekerja. Terima kasih buat doanya. Saya doakan semua rakan lain mendapat khabar yang sama. Ini bukan lawak. Banyak perkara yang menyedarkan tahun ini. Syukur Ya Allah. Jaga diri semua," katanya.

Sementara itu, pengacara, Sherry Al Hadad berkongsi berita gembira itu apabila bebas Covid-19 dan tidak perlu lagi memakai gelang 'pink'.

"Selepas beberapa hari duduk di rumah sebab kena kuarantin, hari ini keluar rumah untuk menjalani ujian saringan kedua. Alhamdulillah, keputusan negatif dan gelang pun sudah dipototong," katanya.

Haziq menerusi hantaran di Instagram story berkata, dia dan semua tenaga kerja separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) bebas Covid-19.

"Hari ini selepas 14 hari kontak rapat dengan Alif Satar. Alhamdulillah, semua tenaga kerja SFMM35 negatif. Semoga Alif pun negatif juga tidak lama lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 3:06 PM