Nurhul Huda Khalid.
Nurhul Huda Khalid.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Episod ketiga separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) yang ditunda sebelum ini akan kembali bersiaran pada 15 Disember ini.

Penerbit Eksekutif Muzik Muzik 35, Nurhul Huda Khalid, berkata, prosedur operasi standard (SOP) lebih diperketat sepanjang sesi latihan dan siaran langsung SFMM35.

"Pematuhan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah keutamaan kami demi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19. Warga kerja kami yang juga kontak rapat kepada Alif Satar sudah membuat ujian saringan di pusat perubatan kerajaan berhampiran. 

"Warga kerja lain juga sudah mematuhi arahan Jabatan Sumber Tenaga, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga walaupun tidak bergejala. Oleh itu, sekiranya kami kekal tidak bergejala sehingga tamat tempoh kuarantin kelak, kami dibenarkan untuk kembali bekerja seperti biasa sambil mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. 

"Kini, proses perancangan semula SFMM35 sedang diperhalusi dan pensanitasi berkala juga dilakukan bagi memastikan kelancaran penyiaran hari ketiga SFMM35 pada 15 Disember ini.

"Hanya artis yang membuat persembahan pada malam itu saja yang akan hadir bagi memastikan bilangan orang yang berada di studio Sri Pentas 2 itu dapat dikurangkan dan memudahkan penjarakan fizikal," katanya.

Terdahulu, episod ketiga SFMM35 yang dijadual berlangsung pada 22 November lalu ditunda ekoran penyanyi, Alif Satar yang terbabit pada episod pertama program itu disahkan negatif Covid-19.

Pada episod ketiga itu, sembilan lagu bakal berentap untuk merebut tempat ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35).

Lagu itu terdiri daripada Hello nyanyian Ismail Izzani dan Andi Bernadee; Eh (Zizi Kirana); Semalam (Aina Abdul); Belenggu Rindu (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah) dan X Missing You (Dayang Nufaizah, Tuju dan YonnyBoii).

Selain itu, lagu Takkan Terlerai (Ernie Zakri dan Syamel); Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter); Aku Kau dan Muzik (Stacy dan Akim) dan Peluang Kedua nyanyian asal Nabila Razali.

Menerusi dua episod sebelum ini, dua lagu dipilih menjadi lagu terbaik iaitu Hati nyanyian Hael Husaini ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong serta lagu 7 Nasihat nyanyian Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sicta yang juga ciptaan Kmy Kmo dan Luca Sicta.

SFMM35 dihoskan oleh Sherry Al Hadad dan Haziq Hussny disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 6:47 PM