FILEM Ada Apa Dengan Dosa menjadi mangsa penjenayah cetak rompak di platform media sosial.
FILEM Ada Apa Dengan Dosa menjadi mangsa penjenayah cetak rompak di platform media sosial.
Syafil Syazwan Jefri

Isu mengenai cetak rompak bukanlah satu isu bermusim atau permasalahan baharu.

Sebutlah apa sahaja jenis industri tentunya akan ada variasi produk tiruan yang meniru produk asli.

Dalam industri seni, isu ini juga tidak pernah berhenti diperdebatkan.

Datanglah apa juga karya dalam pelbagai bentuk sejak zaman kaset, VCD, bahkan sehingga kewujudan platform digital seperti Netflix, iflix dan sebagainya, masih ada lagi kerja haram ini dilakukan.

Platform media sosial juga menjadi ruang untuk penjenayah cetak rompak ini menjual karya-karya mereka.

Baharu sahaja karya-karya seperti filem diterbitkan, muncullah penjenayah- penjenayah ini menjual bukan secara tertutup, tetapi secara terbuka dan terang-terangan di platform media sosial masing-masing seperti Facebook.

Antara filem yang menjadi mangsa adalah Ada Apa Dengan Dosa dan Aku Bukan Gila yang baharu saja ditayangkan baru-baru ini di platform iflix.

Namun begitu, kerana sikap tidak bertanggungjawab setengah individu, mereka merakam semula filem itu secara haram dan menjual tanpa rasa bersalah.

Secara tak langsung, ini memberi kesan buruk kepada pembikin karya seni sekali gus menyebabkan kerugian dari segi wang ringgit, tenaga dan juga masa.

Sehingga ke hari ini, belum ada penyelesaian yang mampu membuatkan pembikin karya seni berpuas hati.

Walaupun baru-baru ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil langkah proaktif dalam membanteras aktiviti pengedaran filem yang tidak mematuhi undang-undang melalui penubuhan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak, namun, penjenayah-penjenayah ini nampaknya masih tidak gentar.

Apa yang dapat dilihat adalah, penjenayah cetak rompak ini seperti tidak ada rasa takut dalam diri mereka bagaikan memiliki kuasa kebal.

Mereka seakan-akan melihat tindakan ataupun undang-undang yang digubal itu hanyalah sekadar untuk menakut-nakutkan mereka.

Yang menjadi pening kepala adalah pembikin filem dan juga penerbit yang mengeluarkan modal.

Bukan RM1 atau RM2, tetapi berjuta- juta ringgit modal dikeluarkan untuk menghasilkan sesuatu karya. Namun, apa yang mereka terima?

Hasil karya mereka diciplak dan dijual dengan harga yang sangat murah. Dalam kata lain penjenayah cetak rompak ini memakan untung atas angin tanpa mengeluarkan modal satu sen pun.

Mungkin tindakan keras patut dikenakan kepada penjenayah cetak rompak ini. Biar jadi pengajaran buat mereka semua apabila satu hukuman keras dikenakan sekiranya mereka didakwa.

Jangan hanya sekadar berkata-kata atau menulis undang-undang di dalam kertas sahaja.

Sebaliknya, jadikan undang-undang itu sebagai satu pengajaran dan pelajaran buat mereka supaya mereka tidak mengulangi kesilapan sama dan pada masa sama membuatkan orang lain yang ada berniat jahat untuk berhenti.

Berpeluang berbual dengan beberapa penerbit, rata-rata meluahkan rasa kecewa apabila selepas laporan dibuat mengenai cetak rompak, seperti tiada tindakan sewajarnya dan tiada sebarang keputusan mahupun dakwaan terhadap penjenayah cetak rompak ini dikenakan secara serius.

Tanggungjawab ini juga bukan hanya terletak di bahu penggubal undang-undang semata-mata.

Ia juga menjadi tanggungjawab masyarakat ataupun penonton yang gemar menonton filem.

Kita sebagai masyarakat juga perlu sedar bahawa cetak rompak itu adalah satu perkara yang salah di sisi undang-undang dan tidak beretika sebagai manusia.

Membeli dan menonton karya cetak rompak, umpama anda mencuri hasil kerja orang lain.

Jangan semata mata kerana anda inginkan sesuatu yang lebih murah, anda sanggup menggadai prinsip yang benar dengan membeli sesuatu yang tidak sah di sisi undang-undang.

Penulis adalah Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 7:20 AM