SHUIB memakaikan jam tangan yang dibelikan buat Siti Sarah.
SHUIB memakaikan jam tangan yang dibelikan buat Siti Sarah.
Najiy Jefri


PELAWAK dan penyampai radio, Shuib menghadiahkan jam tangan mewah jenama Rolex berharga ribuan ringgit kepada isterinya yang juga penyanyi, Siti Sarah sempena ulang tahun kelahiran yang ke-36.

Shuib berkata, hadiah terbabit adalah pemberian paling mahal pernah diberikan kepada Sarah sepanjang perkahwinan mereka.

"Hampir 10 tahun usia perkahwinan, saya tak pernah lihat Sarah memakai jam tangan apatah lagi mengenakan aksesori di tangan seperti wanita lain. Namun, sejak kebelakangan ini saya nampak dia sudah mula minat dengan aksesori seperti gelang. Jadi, terdetik di hati saya untuk menghadiahkan jam tangan.

"Saya juga ingin menghargai Sarah sebagai isteri dan ibu yang baik serta memberi ganjaran kepadanya kerana perniagaan yang dijalankannya semakin membuahkan hasil.

"Tahun lepas saya hampir minta dia tutup perniagaan yang dijalankan tapi tahun ini dia berjaya buktikan perniagaan yang diusahakan mencapai sasaran yang memberi keuntungan berganda," katanya ketika ditemui di majlis kejutan hari lahir Sarah di sebuah hotel di Subang Jaya, malam tadi.

Sementara itu, Sarah mengakui dia bukan wanita materialistik dan tidak pandai memakai barangan mahal.

"Saya terkejut dengan hadiah ini. Saya sendiri tak pandai memakai barangan mahal. Kalau orang tak suruh beli saya takkan beli. Maksudnya kalau beli pun selepas mendapat nasihat orang lain.

"Saya memang tak pandai memakai aksesori sejak kecil lagi. Saya sangat berterima kasih dan bersyukur kepada Shuib kerana dia menghargai saya dengan cara ini. Shuib adalah hadiah paling bernilai untuk saya sepanjang perkahwinan ini dan saya berharap kasih sayang kami akan kekal sehingga ke akhir hayat," katanya.

Sarah dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 27 Februari 2011 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 12:42 PM