SARAH dan Shuib bersama anak-anak mereka.
SARAH dan Shuib bersama anak-anak mereka.
Najiy Jefri

BERSEMPENA ulang tahun kelahiran penyanyi Siti Sarah yang ke-36 baru-baru ini, pelawak dan penyampai radio, Shuib menghadiahkan jam tangan mewah jenama Rolex kepada isteri tercintanya itu.

Dianggarkan berharga puluhan ribu, Shuib berkata, hadiah terbabit adalah pemberian paling mahal pernah diberikan kepada Sarah sepanjang perkahwinan mereka.

"Hampir 10 tahun usia perkahwinan, saya tak pernah lihat Sarah memakai jam tangan apatah lagi mengenakan aksesori di tangan seperti wanita lain.

"Tapi, sejak kebelakangan ini, dia sudah mula minat aksesori seperti gelang. Jadi, terdetik di hati saya untuk menghadiahkan jam tangan.

"Saya juga ingin menghargai Sarah sebagai isteri dan ibu yang baik serta memberi ganjaran kepadanya kerana bisnes yang dijalankannya semakin membuahkan hasil. Tahun lalu saya hampir minta dia tutup perniagaan yang dijalankan, tapi tahun ini dia berjaya buktikan bisnes yang diusahakan mencapai sasaran yang memberi keuntungan berganda," katanya pada majlis kejutan hari lahir Sarah di U3 Hotel Subang.

Sementara itu, Sarah mengakui dirinya bukan wanita yang materialistik dan tidak pandai memakai barangan yang berharga mahal.

SAAT-saat majlis kejutan hari lahir Sarah.
SAAT-saat majlis kejutan hari lahir Sarah.

"Sejujurnya, saya agak terkejut dengan hadiah ini. Saya sendiri tak pandai memakai barangan yang mahal. Kalau orang tak suruh beli saya takkan beli. Maksudnya kalau beli pun selepas mendapat nasihat orang lain.

"Saya tak pandai memakai aksesori sejak kecil. Saya sangat berterima kasih dan bersyukur kepada Shuib kerana dia menghargai saya dengan cara ini.

"Shuib adalah hadiah paling bernilai untuk saya sepanjang perkahwinan ini dan saya berharap kasih sayang kami akan kekal sehingga akhir hayat," katanya.

Sarah dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 27 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Beralih mengenai kejayaaan dalam perniagaan yang diusahakan, Shuib menyimpan segunung impian iaitu mahu meluaskan empayar perniagaan supaya dapat memberi banyak manfaat kepada orang lain.

"Selain mahukan keluarga yang bahagia, saya juga berdoa supaya kerjaya berjalan lancar dan bisnes berkembang baik.

"Saya juga mahu ada empayar perniagaan besar dan Alhamdulillah, bisnes yang dijalankan semakin mendapat respons positif.

"Menerusi perniagaan, saya mahu memberikan banyak kebaikan kepada orang lain dan mahu memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Tanbah Shuib, dia juga berhasrat untuk membina masjid seperti pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal.

"Saya ada simpan keinginan untuk mendirikan sebuah masjid menerusi perniagaan yang dibina serta menghantar ramai orang menunaikan umrah dan membantu orang setiap hari.

"Sejujurnya saya rasa cemburu melihat Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang dalam proses membina masjid menerusi perniagaan yang mereka usahakan, tapi cemburu terbabit adalah cemburu yang baik.

"Sebelum melihat mereka membina masjid pun saya sudah simpan impian itu, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 6:35 AM