Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi dan usahawan popular, Siti Sarah mendedahkan dia dan suami yang juga pelawak Shuib serta anak-anaknya disahkan positif Covid-19. 

Siti Sarah berkata, dia menerima ketentuan Ilahi dengan hati terbuka dan berlapang dada. 

"Kami dah dapat keputusan ujian saringan pagi ini.. Dukacita dimaklumkan, kami sekeluarga positif Covid-19.

"Ini semua ketentuan Allah, kami menerima dengan hati terbuka dan berlapang dada. Mohon semua doakan kami sekelurga mengharugi 14 hari ni. Kami serahkan semuanya kepada Allah. Amin insya-Allah," tulisnya.

Menurut Siti Sarah, dia menganggap apa yang berlaku sebagai satu hikmah dan mahu kekal positif. 

"Saya nak jelaskan untuk elak salah faham, urusan perniagaan dan perkara lain berjalan seperti biasa. Pihak admin akan muat naik di Instagram ini bagi pihak saya.

"Saya dan keluarga nak kekal positif dan melihat apa yang terjadi ini sebagai satu hikmah. Doakan saya dan keluarga segera sembuh," katanya. 

Semalam, Siti Sarah memaklumkan pembantu rumah mereka disahkan positif wabak berjangkit itu dan mereka sekeluarga menjalani ujian calitan di rumah. 

Siti Sarah berkahwin dengan pelawak dan ahli perniagaan, Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad, 37, pada 26 Februari 2011.

Hasil perkahwinan, pasangan ini mempunyai tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. Malah, Siti Sarah kini hamil anak keempat.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 12:24 PM