Ruhainies bersama Mr. E.
Ruhainies bersama Mr. E.
Najiy Jefri

 

AHLI perniagaan yang juga kekasih hati pelakon Ruhainies yang dikenali sebagai Mr. E menghadiahkan beg tangan mewah edisi terhad sempena ulang tahun kelahiran yang ke-28 pelakon itu semalam.

Mr. E berkata, dia sudah menghadiahkan lebih enam beg tangan kepada pelakon itu dan setiap satu dianggarkan bernilai puluhan ribu.

"Sebenarnya, Ruhainies amat menyukai beg tangan. Beg tangan terbaharu yang saya hadiahkan sempena ulang tahun kelahirannya adalah beg yang keenam buatnya. Sebelum ini pun, saya ada hadiahkannya beberapa aksesori lain seperti jam tangan.

"Macam beg tangan, harganya tidak perlulah saya kongsikan. Cuma ya, saya boleh kata dalam puluhan ribu. Hadiah istimewa untuk yang tersayang, mengapa tidak?

"Lagipun saya memang suka berikan hadiah edisi terhad yang tidak mudah didapati di mana-mana untuk Ruhainies. Bagi saya, dia seorang yang cukup istimewa di mata dan ia bukti cinta sejati saya terhadapnya," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari jadi Ruhainies yang diadakan di Hotel W, di sini, semalam.

Selain kelibat Mr.E, majlis terbabit turut dihadiri rakan terdekat dan peminat tercinta pelakon itu.

Menurut Mr E, dia mengakui sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami kepada aktres itu.

"Saya sudah bersedia menjadi suaminya sampai bila-bila. Hal ini juga sudah kami bincangkan secara serius.

"Insya Allah jika tiada aral melintang, kami akan mendirikan rumah tangga selepas kakaknya berkahwin, sebagaimana permintaan ibu bapa Ruhainies.

"Kalau bukan tahun ini, kami mungkin akan mendirikan rumah tangga tahun hadapan. Apa pun, kami akan kongsikan berita gembira itu kepada semua nanti. Doakan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 7:22 PM