ADILLA pernah digelar Ratu Keroncong Malaysia.
ADILLA pernah digelar Ratu Keroncong Malaysia.
Ridzuan Abdul Rahman


BUKAN semua penyanyi boleh digelar penghibur kerana beberapa kriteria perlu diambil kira antaranya kebolehan menguasai pentas serta mengawal penonton dengan baik.

Kebiasaannya, kita hanya melihat seseorang penyanyi terpacak menyanyi di atas pentas tanpa menghiraukan penonton di bawah.

Bagaimanapun, agak berbeza dengan apa diperlihatkan oleh Adilla Idris, 48, menerusi persembahan Everlasting Night yang berlangsung di sebuah kafe di Shah Alam, baru-baru ini.

Tidak keterlaluan dikatakan Adilla layak digelar penghibur kerana mempunyai ciri-ciri yang disebutkan tadi.

Berbekalkan pengalaman luasnya dalam industri nyanyian, dia berjaya menghiburkan peminat yang hadir menonton.

Adilla yang juga peserta pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim pertama membuka persembahan pada jam 9.30 malam dengan lagu pertama Menghitung hari diikuti lagu Kasih.

Kemerduan suaranya mengalunkan lagu-lagu berkonsep 'down memory lane' ternyata memikat apabila mendendangkan lagu Sepanjang Jalan Kenangan dan Tiga Malam.

Lagu-lagu lain nyanyian Adilla antaranya ialah Memendam Rasa, I Will Survive, Gadis Dan Bunga, Jangan Ditanya, Fly Me To The Moon, Keroncong Kemayoran dan Keroncong Bengawan Solo.

Tidak ketinggalan, Adilla turut mengambil kesempatan mengajak anaknya Tengku Indra Muzaffar Tengku Ngah Putra atau Prince Affa, 18, berduet menerusi lagu Hati Ini Telah Dilukai.

Menghampiri lewat malam, suasana masih rancak dengan permintaan peminat yang mahukan dia terus menyanyi.

Bagaimanapun mereka perlu akur persembahan perlu dihentikan tepat jam 12 malam atas faktor prosedur operasi standard (SOP).

Adilla ketika ditemui berkata, persembahan anjurannya ini khas untuk rakan-rakan rapat dan mereka yang selalu memberikan sokongan terutama sebagai guru aerobik dan nyanyian.

PERNAH menjadi peserta Gegar Vaganza musim pertama.
PERNAH menjadi peserta Gegar Vaganza musim pertama.

"Saya sebenarnya tak sangka akan dapat sambutan sebegini hangat. Sepatutnya persembahan ini hanya sejam setengah tapi berlanjutan sehingga lebih dua jam.

"Ia cukup mengujakan saya untuk buat persembahan mini seterusnya dalam waktu terdekat ini. Saya pernah bergabung dalam persembahan beramai-ramai 5 Suara pada 2018 tapi bukanlah berseorangan seperti kali ini," katanya.

Adilla yang pernah mendapat jolokan 'Ratu Keroncong Malaysia' merancang untuk mengadakan persembahan keroncong pula selepas ini.

"Selain itu, saya juga rancang nak berduet dengan Prince Affa untuk lagu seterusnya. Sebelum ini kami berduet untuk lagu-lagu raya pada 2018," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 6:30 AM