FOTO: Eizairi Shamsudin
FOTO: Eizairi Shamsudin
Najiy Jefri

PENYANYI popular Dayang Nurfaizah tidak pernah terdetik untuk melakukan sebarang pembedahan pada bahagian wajah kerana bimbang kesan jangka panjang yang akan berlaku kepada dirinya.

Dayang berkata, pada usia sekarang dia lebih selesa melakukan rutin kecantikan sebagaimana kebanyakan wanita seusia dengannya menjaga kecantikan wajah.

"Saya belum terfikir untuk melakukan rawatan kosmetik pada bahagian wajah. Lagipun saya takut andai perubahan yang dilakukan tidak seperti yang diharapkan.

"Lazimnya ia mungkin akan beri kesan jangka panjang, jadi saya tidak berani. Kalau boleh, saya cuba elakkan.

"Biarlah tua secara semula jadi dan terimalah seadanya, Alhamdulillah," katanya pada majlis perlantikannya sebagai duta produk Bungaa di Royale Chulan, Damansara baru-baru ini.

Menurut Dayang, dia bagaimanapun tidak menolak pendirian individu yang mahu melakukan rawatan kosmetik demi kecantikan.

Bagi penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu, ia terpulang kepada individu itu sendiri selagi tidak memudaratkan.

"Saya tidak menentang terhadap kecenderungan individu yang mahu melakukan prosedur rawatan kosmetik.

DAYANG gembira dengan apa yang sudah dilaluinya sejak awal pembabitan dalam bidang seni hingga sekarang. FOTO: Eizairi Shamsudin
DAYANG gembira dengan apa yang sudah dilaluinya sejak awal pembabitan dalam bidang seni hingga sekarang. FOTO: Eizairi Shamsudin

"Kalaulah cara itu yang membuatkan mereka rasa lebih yakin, siapa saya untuk menghalangnya.

"Cuma kalau boleh janganlah berlebih-lebihan bimbang ia akan memberi kesan sebaliknya pula," katanya.

Ditanya mengenai perbezaan gaya dan penampilan dirinya pada awal penmbabitan dalam seni sehingga sekarang, Dayang menyifatkan ia suatu proses kematangan diri.

"Jujurnya, saya gembira dengan apa yang sudah dilalui sejak awal pembabitan dalam bidang seni hinggalah sekarang.

"Ada yang kata saya bermula dengan gaya yang pelik dari segi gaya rambut dan sebagainya.

"Tetapi itulah yang membuatkan saya tersenyum dan ia seterusnya membuatkan saya belajar, lebih kenal apa yang sesuai dan sebaliknya. Ia proses bagi saya juga. Saya tidak rasa malu. Itulah Dayang Nurfaizah," katanya.

DAYANG dilantik menjadi duta sebuah produk kecantikan. FOTO: Eizairi Shamsudin
DAYANG dilantik menjadi duta sebuah produk kecantikan. FOTO: Eizairi Shamsudin

Bercakap soal rahsia kecantikan pula, Dayang yang terkenal menerusi lagu Lelaki Teragung berkata, dia menitikberatkan penjagaan harian.

"Semakin meningkat usia, saya lebih utamakan penjagaan wajah sebab bagi saya kalau kulit sihat, kita mekap sikit pun dah okey.

"Sebenarnya saya sudah biasa mekap sejak zaman sekolah lagi dan ketika itu kulit saya tiada masalah, tapi sekarang kulit mudah sensitif.

"Jadi, saya perlu lakukan sesuatu dan mula ambil tahu fasal produk yang bersesuaian dengan diri. Tapi sekarang hanya lebih pada rutin penjagaan wajah sahajalah," katanya.

Bagi Dayang, definisi kecantikan menurut dirinya adalah perlu mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam berhadapan dengan apa juga situasi.

"Saya rasa kita perlu yakin dengan kemampuan diri. Kalau kita lemah atau rendah diri kita pasti akan rasa lemah sekali gus beri kesan kepada diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 6:20 AM