Najiy Jefri


Selepas album Belagu yang dilancarkan dua tahun lalu berjaya memenangi kategori Rakaman Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23, terbaharu Dayang Nurfaizah tampil mempertaruhkan album Belagu 2 yang bakal dilancarkan pada 27 Januari ini.

Mengekalkan identiti Belagu yang menampilkan lagu-lagu klasik Melayu malar segar yang diberi nafas baharu dan disusun semula muziknya, Dayang berkata, dia tidak sabar untuk mengetahui maklum balas peminat mengenai pemilihan sembilan lagu yang dimuatkan dalam album Belagu 2.

"Belagu 2 adalah kesinambungan dari album Belagu yang dilancarkan awal 2021. Album kedua ini, saya mahu meraikan lebih banyak lagu memandangkan kesemuanya sangat indah dan boleh diperdengarkan.

"Bekerjasama dengan Budapest Scoring Orchestra, saya berharap ia dapat menjangkau lebih ramai pencinta muzik antarabangsa," katanya.

Belagu 2 memuatkan lapan lagu klasik Melayu yang disusun semula berserta satu lagu baharu dan kesemuanya diiringi muzik Budapest Scoring Orchestra bersama pemuzik handalan Malaysia.

DAYANG berharap Belagu 2 dapat diterima pendengar terutama generasi muda bagi menghargai lagu klasik Melayu.
DAYANG berharap Belagu 2 dapat diterima pendengar terutama generasi muda bagi menghargai lagu klasik Melayu.

Album ini juga sekali lagi disusun dan diterbitkan oleh penerbit yang tidak asing lagi, Aubrey Suwito.

Tambah Dayang, dia berharap album terbabit dapat terus menarik minat peminat muzik dan menikmati satu pengalaman baharu.

Katanya, album ini adalah salah satu cara untuk dirinya memperkenalkan kembali lagu Melayu klasik kepada generasi muda selain mahu pendengar menghayati kembali keindahan lagu-lagu klasik ini.

"Saya berharap agar semua peminat akan menghargai album ini dan menerima mesej yang mahu disampaikan. Saya mahu semua pendengar khususnya generasi muda mengenali lantas menghargai khazanah lagu-lagu klasik Melayu kita.

ALBUM Belagu 2 bakal memuatkan lapan lagu klasik Melayu yang diberi nafas baharu.
ALBUM Belagu 2 bakal memuatkan lapan lagu klasik Melayu yang diberi nafas baharu.

"Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun ia akan berkubur begitu sahaja. Saya anggap penghasilan album ini bukan saja satu penghargaan kepada orang-orang lama tapi juga sebagai satu tanggungjawab sebagai anak seni.

"Saya berharap Belagu 2 akan terus mengingatkan kita semua untuk meraikan lagu-lagu klasik Melayu warisan kita demi generasi masa hari ini dan akan datang," katanya.

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album Belagu 2 adalah Nak Dara Rindu, Menanti Di Ambang Syurga, Ketipang Payung, Jauh Di Mata, Mengapa Dirindu, Sejak Ku Bertemu Padamu, Dari Hati Ke Hati, Umpan Jinak Di Air Tenang dan Rindu Menyapa diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 6:30 AM