HEATHER (kiri) dan Naya
HEATHER (kiri) dan Naya
Agensi

AKTRES Hollywood, Heather Morris menawarkan untuk melakukan penyiasatan peribadi bagi mencari rakannya dalam siri Glee, Naya Rivera yang hilang selepas menyewa bot di Lake Piru, California sekitar minggu lalu.

Hasratnya ini dimaklumkan Heather kepada Pejabat Polis Daerah Ventura menerusi ciapannya di Twitter.  

"Saya cuba mengadakan misi mencari dan menyelamat dengan sekumpulan kecil rakan berhampiran Lake Piru.

"Saya faham pasukan polis sudah melakukan semua yang termampu, tapi kami masih berharap serta tidak berputus asa, dan  ingin membantu dengan cara apa pun," tulisnya.

Dalam melakukan pencarian ini, Heather berjanji akan terus berkoordinasi dengan petugas setempat, seperti yang baru dilakukannya.

"Saya baru saja meninggalkan pesanan di jabatan penyelamat dan udara hari ini. Saya akan menghubungi anda lagi esok. Terima kasih," katanya memetik laporan The Hollywood Reporter.

Naya dilaporkan hilang selepas menyewa bot ketika dalam lawatan bersama anaknya di Lake Piru pada 8 Julai lalu.

Dia menyewa bot pada jam 1 tengahari waktu tempatan. Bot itu sepatutnya dikembalikan pada jam 4 petang, tetapi pihak pengendali tidak menerimanya. 

Mereka kemudian menyuruh kakitangan mencari Naya, namun hanya menjumpai anaknya yang  tidur di atas kapal.

Anak lelakinya berusia empat tahun, memberitahu pegawai bahawa dia dan ibunya berenang di tasik.  Tetapi, dia yang kembali ke kapal, namun ibunya tidak.

Justeru, pasukan penyelamat segera melancarkan operasi mencari menggunakan alat sonar kerana jarak penglihatan yang lemah di dalam air.  

Bagaimanapun, mereka percaya Naya mungkin tenggelam di Lake Piru dalam kemalangan yang dianggap tragis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 10:30 AM